KUALA LUMPUR:Timbalan Presiden Parti Amanah (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berpandangan isu keabsahan keabsahan sesebuah kerajaan mula menjadi perhatian dan penting untuk rakyat.

Salahuddin berpendapat rakyat kini melihat adakah sesebuah kerajaan itu baik di peringkat Persekutuan atau Negeri memiliki keabsahan atau tidak.

Justeru, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram itu mencadangkan agar ADUN UMNO Johor mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan Menteri Besar negeri itu.

“Saya merasakan elok sekiranya UMNO mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan Menteri Besar Johor untuk membuktikan adakah kerajaan negeri ini benar-benar dapat bertahan dan bermaruah untuk terus mentadbir negeri Johor.

“Usul percaya ini akan dapat membuktikan keabsahan dokongan dan sokongan wakil-wakil Bersatu masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor.

“Besar kemungkinan sesuatu yang penting akan berlaku esok semasa hari terakhir sesi penggulungan belanjawan negeri yang mungkin akan memanaskan lagi suhu politik kerajaan PN di Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian membayangkan kemelut politik yang terjadi di Perak mungkin boleh juga berlaku di itu.

Adun Kempas itu berkata, Bersatu Johor barangkali boleh membalas dendam terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang mewakili UMNO.