Skip to main content

Dunia

Pertahanan udara Arab Saudi pintas dron Houthi berhampiran Mekah

[TB]_Aerial view Mecca skyline Mekah_ADOBE STOCK
Dron berkenaan dipintas kira-kira 6.50 petang waktu tempatan pada Selasa sebelum sempat memasuki ruang udara larangan. - Gambar hiasan
Advertisement

ISTANBUL: Pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi di Yaman berhampiran Mekah, menurut pakatan diketuai Arab Saudi pada awal Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap pakatan itu, Turki al-Malki berkata dron berkenaan dipintas kira-kira 6.50 petang waktu tempatan pada Selasa sebelum sempat memasuki ruang udara larangan, dengan serpihannya jatuh di selatan bandar itu.

Al-Malki menyifatkan insiden itu sebagai percubaan kedua Houthi untuk menyasarkan Mekah, merujuk kepada peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah bandar itu pada 27 Julai 2017.

Beliau berkata keselamatan Dua Masjid Suci dan jemaah merupakan “garis merah”, sambil berikrar bahawa pakatan itu akan mengambil langkah bagi menghalang serangan selanjutnya.

Insiden itu berlaku sehari selepas pakatan berkenaan memaklumkan bahawa 13 orang awam cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron oleh Houthi di Khamis Mushait, Abha dan Taif, dengan tujuh rumah serta dua kenderaan rosak.

Konfrontasi antara tentera kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan Houthi semakin memuncak sejak awal Julai.

Negara itu dilanda perang sejak Houthi menawan ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah pada 2014 sebelum pakatan Arab diketuai Arab Saudi campur tangan pada 2015 bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement