Ramai bekas pemimpin mohon kembali kepada UMNO, keputusan selepas PAU - Asyraf

Asyraf Wajdi berkata, proses tersebut perlu diselaraskan dengan hala tuju dan resolusi yang bakal diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO mengakui ramai bekas pemimpin yang tidak lagi bersama parti membuat permohonan untuk kembali, namun kepimpinan menegaskan keputusan hanya akan dimuktamadkan melalui Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, proses tersebut perlu diselaraskan dengan hala tuju dan resolusi yang bakal diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
“Memang kita menerima banyak permohonan. Sebab itu kita tunggu ucapan penggulungan kerana Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) telah menyebut dalam ucapan dasarnya mengenai konsep rumah besar, iaitu penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
"Saya rasa yang paling penting sekali apakah resolusi yang akan kita capai daripada PAU 2025 kali ini. Itu salah satu daripada solusi," katanya dalam satu sidang media di ibu negara pada Sabtu.
Tegasnya lagi, UMNO kekal bersikap terbuka, namun menolak tanggapan bahawa keputusan tersebut ditentukan oleh individu tertentu.
“Kita meraikan semua, tetapi bukan saya yang menentukan siapa-siapa. Jika kita faham ucapan dasar Presiden, rumah ini terbuka untuk semua,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan prinsip perjuangan UMNO yang berpaksikan penyatuan, memandangkan mereka yang ingin kembali juga berasal daripada parti yang sama.
“Semua ini asalnya daripada rahim UMNO,” tambahnya.
Terdahulu, dalam Ucapan Dasar Presiden sempena PAU2025 pada Jumaat, Ahmad Zahid menyatakan bahawa UMNO bersedia untuk menerima kembali mana-mana individu atau secara en bloc mereka yang sudah tidak lagi bersama parti.
Beliau berkata, bagi menyambut kembali kumpulan tersebut, UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
Kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat sebagai satu isyarat jelas terhadap seruan Pemuda UMNO yang memohon agar parti menerima kembali mereka yang telah meninggalkan parti itu, termasuk yang dipecat atau digantung.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


