ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak akan terkubur di Johor meskipun ramai pihak terutama parti politik yang mahu melihat perkara itu berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengarah PRN Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jentera PRN Johor akan bekerja keras melaksanakan kempen bagi memastikan parti terus kukuh kerana Johor adalah benteng utama UMNO.

"Ramai hendak lihat UMNO dan BN terkubur di Johor. Disebabkan itu banyak parti politik menyatakan keinginan untuk bertanding pada PRN Johor kali ini.

"Keinginan ini tidak akan tercapai di negeri tempat lahirnya UMNO. Jentera PRN Johor akan kerja keras termasuk adakan mesyuarat setiap malam di 'Command Centre' BN setiap malam untuk lihat gerak kerja setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jentera PRN Johor Wilayah Barat di Stadium Tertutup Educity Iskandar Puteri di sini, malam tadi.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN turut meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada lapan kerusi yang ditandingkan di empat bahagian Parlimen di zon Johor Barat.

"Terdapat lapan kerusi DUN di empat bahagian Parlimen iaitu Pulai, Iskandar Puteri, Pontian dan Tanjung Piai yang terletak di dalam zon Johor barat. Maka saya meletakkan sasaran untuk menang lima daripada lapan kerusi DUN.

"Tetapi jika menang lapan, kita akan berpesta besar. Bagaimanapun saya ingatkan jentera PRN tidak boleh terlalu selesa kerana cara tidak Johor tidak sama dengan PRN Melaka," katanya.


Artikel asal di Sinar Harian