Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Hentikan lantikan tokoh politik dalam kepimpinan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 15 Feb -- Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhyiddin berpandangan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi TH, termasuk anak syarikatnya perlu dibuat berdasarkan merit, integriti, kelayakan profesional serta pengalaman. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Amalan melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam Lembaga Pengarah atau jawatan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dihentikan.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit.

“Amalan melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam Lembaga Pengarah mahupun jawatan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji hendaklah dihentikan.

“Ini bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit,” katanya ketika membahaskan Laporan RCI berhubung TH pada Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri itu berpandangan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi TH, termasuk anak syarikatnya perlu dibuat berdasarkan merit, integriti, kelayakan profesional serta pengalaman.

Ia termasuk pengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang dan syariah.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mencadangkan supaya ujian fit and proper person dilaksanakan sebelum mana-mana individu dilantik ke dalam kepimpinan TH.

Katanya, proses itu perlu menggunakan kriteria penapisan ketat berdasarkan piawaian kawal selia seperti yang terkandung dalam garis panduan Bank Negara Malaysia.

“Syarat ini adalah penting untuk memastikan individu yang dilantik bebas daripada sebarang konflik kepentingan, isu integriti, atau tekanan politik luar,” katanya lagi.

Muhyiddin turut menegaskan Jawatankuasa Pelaburan TH perlu bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana arahan luar yang boleh menjejaskan kepentingan kewangan pendeposit.

Pada masa sama, beliau berkata keyakinan rakyat terhadap TH perlu dipulihkan sepenuhnya dengan memastikan kesilapan lalu tidak berulang.

Sehubungan itu, beliau menggesa syor RCI dilaksanakan, tindakan diambil berdasarkan dapatan audit forensik serta tadbir urus berintegriti ditegakkan demi masa depan TH dan umat Islam di Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement