Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Lantikan perlu dipacu kepakaran, bukan representasi politik

TB_MAZLAN CHE SOH TABUNG HAJI_BERNAMA
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berkata reformasi perlu dilakukan bagi memastikan institusi yang menguruskan dana besar seperti TH ditadbir dengan standard tadbir urus yang tinggi.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Reformasi tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) perlu memberi penekanan kepada profesionalisme lembaga dan pengurusan, termasuk memastikan pelantikan anggota lembaga dibuat berdasarkan kelayakan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Mazlan Che Soh berkata, reformasi perlu dilakukan bagi memastikan institusi yang menguruskan dana besar seperti TH ditadbir dengan standard tadbir urus yang tinggi.

"Ini penting kerana institusi yang mengurus dana besar seperti Tabung Haji ini memerlukan kompetensi dalam kewangan, perakaunan, pelaburan, risiko, syariah dan tadbir urus bukan sekadar kedudukan atau representasi politik.

"Bagi saya, matlamat akhirnya ialah untuk membina sistem yang tidak hanya bergantung pada siapa yang pegang jawatan.

"Orang boleh berubah. Orang boleh pergi. Kerajaan boleh berubah. Kerajaan boleh pergi tetapi 'standard' ataupun piawaian tadbir urus yang tinggi mesti kekal dan ini penting untuk mencerminkan keyakinan pendeposit dan rakyat," katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ahli Parlimen juga perlu menggunakan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat untuk memainkan peranan semak dan imbang dalam membahaskan isu berkaitan TH.

Ujarnya, langkah itu bagi menyuarakan hasrat rakyat serta membangkitkan perkara yang perlu diperhalusi sebagai penambahbaikan institusi tersebut.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Antara dapatan utama RCI ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.

Menurut laporan itu, TH sepatutnya mencatat kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) diguna pakai sepenuhnya.

Must Watch Video

Advertisement