Reformasi harus dilakukan ketika berkuasa - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort hari ini. - Foto Bernama
RAWANG: Perubahan atau reformasi haruslah dilaksanakan ketika masih memegang kuasa dan bukannya ketika tidak lagi memerintah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pengalaman lepas menunjukkan terdapat pemimpin yang lantang bersuara ketika tidak berkuasa, namun gagal melaksanakan perubahan sewajarnya setelah diberi mandat sebagai Perdana Menteri atau menteri, dan keadaan sedemikian tidak patut berulang.
Anwar berkata perubahan juga perlu dilakukan secara waras, bijaksana dan melalui proses rundingan atau musyawarah bersama pimpinan parti dalam Kerajaan MADANI.
Beliau berucap pada Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata pelaksanaan perubahan bukan sesuatu yang mudah memandangkan wujud perbezaan keutamaan dalam kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan yang perlu ditangani dengan penuh bijaksana.
"Semua parti ini (dalam kerajaan) masing-masing ada keutamaan mereka, jadi kita harus mengemudi dengan bijak," kata Anwar.
Perdana Menteri berkata kerajaan tetap teguh untuk melaksanakan agenda perubahan terutama dalam menentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, dan prinsip berkenaan tidak boleh dikompromi.
"Tetapi satu hal yang tidak boleh kita sangkal, kita tegak untuk bawa perubahan. Tolak rasuah, tolak penyelewengan, tolak keangkuhan," kata beliau.
Pada masa sama, Anwar berkata komitmen untuk menjunjung kebebasan institusi kehakiman dan tadbir urus berintegriti merupakan teras kepada agenda reformasi yang sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI.
Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri merakamkan penghargaan khas kepada veteran PKR atas pengorbanan dan jasa mereka kepada perjuangan parti.
Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri merakamkan penghargaan khas kepada veteran PKR atas pengorbanan dan jasa mereka kepada perjuangan parti.
Sehubungan itu, Anwar mencadangkan setiap cabang parti menubuhkan Unit Veteran bagi menyatukan tenaga dan pengalaman ahli reformis lama, sekali gus memperkukuh organisasi di peringkat akar umbi.
Pada majlis sama, Perdana Menteri merasmikan pensijilan logo halal bagi produk Gula rahmah yang ditawarkan pada harga RM2.70 sekilogram.
Menurut kenyataan HMBE Legacy Sdn Bhd, inisiatif Gula Rahmah dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah kerangka Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni.
Produk tersebut diperakui halal dan keseluruhan pemprosesan, pembungkusan serta pengedaran mematuhi piawaian keselamatan makanan dan kawalan kualiti ditetapkan selain melibatkan 100 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


