ALOR SETAR: Pengalaman ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua minggu ketika usia muda, menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan Tokoh Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Kedah Dr Shukri Abdullah.
Dr Shukri, 76, berkata peristiwa yang berlaku pada tahun 1974 susulan penglibatannya dalam Demonstrasi Baling, ketika menjadi pemimpin pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) memberi kesedaran baharu tentang pentingnya ilmu dan masa depan.
“Selepas dibebaskan, biasiswa saya ditarik balik. Pengalaman itu membuatkan saya bertekad untuk mengubah kehidupan kerana saya tidak mahu terus dibelenggu penyesalan.
“Saya percaya manusia mampu berubah sekiranya mempunyai kesedaran dan keinginan untuk memperbaiki diri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau menerima sijil penghargaan serta wang tunai RM15,000 yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Pakar motivasi itu berkata selepas dibebaskan, beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran sehingga muncul sebagai pelajar terbaik keseluruhan USM.
Beliau berkata pendidikan menjadi jalan untuk mengubah kehidupan dan usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan, membolehkan beliau bukan sahaja cemerlang di universiti, malah diberi penghormatan menyampaikan ucapan sebagai pelajar terbaik pada majlis konvokesyen.
Dr Shukri berkata pencapaian itu lebih bermakna memandangkan beliau bukanlah pelajar cemerlang ketika di bangku sekolah.
Beliau berkata keputusan akademik yang sederhana di sekolah, menyebabkan permohonannya ke universiti pernah ditolak sebelum beliau bekerja sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1980 selama setahun dan selepas itu memohon sekali lagi kemasukan ke universiti dan diterima melanjutkan pengajian di USM.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Essex dalam tempoh dua tahun dua bulan.
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di USM, sebelum meninggalkan bidang akademik bagi menumpukan usaha membimbing pelajar dan ibu bapa menerusi program motivasi yang telah dijalankan lebih 30 tahun.
Bapa kepada 10 orang anak dan datuk kepada 22 cucu itu berkata beliau masih aktif berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada masyarakat, dengan menekankan bahawa kecemerlangan bermula dengan disiplin, kesedaran dan keazaman untuk berubah.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya mempunyai matlamat hidup yang jelas agar tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat, selain menekankan peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak menentukan hala tuju sejak peringkat awal.
-- BERNAMA