KOTA KINABALU: Sebanyak 284,448 pengunjung menghadiri sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di sini dari 11 hingga 14 Jun lepas.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata jumlah itu antara kehadiran tertinggi yang pernah direkodkan sejak program nasional berkenaan diperkenalkan pada 2023.
Beliau berkata pencapaian luar biasa itu menjadi bukti sahih rakyat Malaysia kini semakin menghargai dan menghayati kepelbagaian budaya, warisan serta identiti unik yang menjadi asas kepada kekuatan dan keutuhan negara.
“Melihat kepada sambutan yang amat memberangsangkan ini, Kementerian Perpaduan Negara akan meneruskan penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan pada tahun hadapan sebagai platform nasional bagi menghimpunkan rakyat daripada pelbagai latar belakang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Aaron berkata berdasarkan maklum balas yang diterima, terdapat tiga pengisian utama yang berjaya mencetuskan impak dan mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai sepanjang tempoh program berlangsung.
Beliau berkata tiga tarikan utama itu merangkumi Perkampungan Etnik yang mempamerkan kehidupan harian masyarakat utama, Rumah Etnik yang memperkenalkan keunikan komuniti seperti Bajau, Melanau, Banjar, Kedayan dan Portugis serta Pameran Negara Bangsa dan Raja Kita yang berjaya menarik minat golongan muda mengenai sejarah kenegaraan.
Aaron ketika mengulas mengenai usaha pembentukan integrasi nasional berkata perpaduan tulen tidak boleh dibina melalui satu program yang bersifat sekali sahaja, sebaliknya menuntut komitmen jangka panjang yang konsisten dan menyeluruh untuk diwariskan merentasi generasi.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata antara peranan kementerian itu adalah terus menyediakan lebih banyak ruang dan platform interaksi fizikal bagi membolehkan rakyat saling bergaul serta merapatkan jurang persefahaman.
“Langkah ini juga selaras dengan matlamat utama Kerajaan MADANI dalam membina sebuah Negara Bangsa melalui satu wawasan bersama yang menyatukan semua kaum, agama dan wilayah.
“Usaha memperkukuh perpaduan memerlukan komitmen semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan seluruh rakyat Malaysia demi membina masa depan yang harmoni,” katanya.
-- BERNAMA