Usaha bekas Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan 'Resolusi membawa ketetapan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai keyakinan Ahli Parlimen' tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat di negara ini.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, rakyat sebaliknya akan lebih mengandaikan tindakan bekas Perdana Menteri itu semata-mata didorong rasa kecewa yang amat sangat terhadap kedudukan Muhyiddin berdasarkan Perlembagaan Negara.

"Saya khuatir, rakyat akan melemparkan tohmahan bahawa tindakan Dr Mahathir itu hanya menyerlahkan sikap yang hanya memikirkan agenda dan kepentingan politik peribadi daripada mengutamakan perpaduan rakyat dan kestabilan negara.

"Malah, saya juga bimbang dengan kecaman rakyat terhadap Dr Mahathir bahawa beliau sebenarnya adalah pemain politik yang tergamak mencaturkan kehidupan rakyat demi memuaskan nafsu politik dan tidak rela orang lain menyandang jawatan perdana menteri.

"Percayalah, rakyat terutama orang Melayu akan tertanya-tanya, apa lagi yang Dr Mahathir kejar dan mahu sedangkan sudah dua kali memegang jawatan perdana menteri yang merupakan rekod dunia," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Jumaat.

Speaker Dewan Rakyat sebelum ini dilaporkan menolak usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung usul undi percaya bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli.

Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dilaporkan menolak usul itu kerana penjelasan yang dinyatakan dalam usul berkenaan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan jawatan Perdana Menteri.

BACA: Dewan Rakyat terima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Jelasnya, ada juga andaian Dr Mahathir sebenarnya sedang dipengaruhi dan dipergunakan pihak-pihak tertentu yang mahu melihat suasana politik tidak stabil.

"Apa yang rakyat harapkan, Dr Mahathir kekalkan legasi terbaik semasa menjadi perdana menteri kali pertama sebagai Bapa Pemodenan Malaysia agar diingati selama-lama oleh negara dan dunia.

"Apabila Dr Mahathir bersama sekutu politik Pakatan Harapan (PH) dilihat cuba menyingkirkan Muhyiddin selaku perdana menteri, rakyat juga akan bertanya: "Dr Mahathir mahu siapa yang jadi perdana menteri?"

"Paling menyedihkan, Dr Mahathir akan dilihat sebagai pemimpin yang sedang menyusun permainan politik kotor dalam sejarah, ketika negara kita sedang berdepan krisis pandemik COVID-19," ujarnya.

Jelasnya, Dr Mahathir dan pemimpin PH seharusnya turut bersolidariti dan berganding bahu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin untuk membangunkan negara dan memulihkan kesejahteraan rakyat akibat penularan wabak tersebut.

"Banyak lagi agenda Melayu bumiputera yang belum selesai. Saya pasti hasrat itu masih tertanam dalam jiwa sanubari Dr Mahathir. Saya yakin ia boleh dijayakan dengan berganding bahu bersama-sama kerajaan Melayu-Islam yang sedang memerintah sekarang.

"Seeloknya Dr Mahathir menunjukkan teladan sebagai seorang negarawan tulen dengan menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin menjalankan tanggungjawab beliau sebagai perdana menteri.

"Memang tidak dinafikan bahawa Dr Mahathir dan saki baki pengikutnya mempunyai wawasan politik yang terlalu besar untuk menguasai negara, tetapi tunggulah penentuan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang," ujarnya.

Tambahnya, rakyat sudah letih dengan permainan politik dan adu-domba politik yang tidak membawa sebarang kebaikan kepada negara.

"Ia harus dihentikan segera. Orang Melayu sangat kecewa, hampa dan amat muak dengan sandiwara politik yang dipentaskan oleh pemimpin-pemimpin PH yang mana Dr Mahathir sendiri 'gagal' mengawal tindak-tanduk mereka yang amat ketara begitu songsang dan bercanggah dengan lunak manisnya manifesto PRU ke-14 PH.

"Saya dengan penuh hormat dan rendah diri, merayu kepada Dr Mahathir supaya melihat secara lebih terbuka akan suara rakyat, bukannya terpukau dengan momokkan politik sekutu PH yang berkepentingan.

"Besarlah harapan saya agar Dr Mahathir juga akan menerima hakikat bahawa rakyat telah menerima Muhyiddin sebagai perdana menteri yang sedang bertungkus lumus bersama jemaah Kabinet PN untuk membawa satu perubahan kepada normal hidup rakyat dan negara kearah yang lebih baik dan bermaruah," jelasnya.