PASIR SALAK: Seramai 84 orang ahli dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan yang disandang, berkuat kuasa serta merta semalam.
Wakil kumpulan itu, Muhamad Safie Hamzah berkata, mereka juga sepakat memutuskan hubungan dan persefahaman dengan parti dan kepimpinan PKR Cabang Pasir Salak.
Menurut beliau yang juga Ketua Ranting DUN Sungai Manik, keputusan tersebut dibuat selepas mereka hilang kepercayaan kepada parti itu serta barisan kepimpinan yang ada.
“Keputusan keluar parti ini juga tidak didorong oleh mana-mana pihak, desakan atau sebarang unsur lain yang tidak sihat.
“Keputusan yang dibuat pada hari ini kami anggap sebagai sebahagian dari amalan demokrasi dan kebebasan dalam mengamalkan prinsip-prinsip politik di negara ini,” katanya pada sidang media khas di sini, semalam.
Muhamad Safie berkata, mereka turut memohon untuk menyertai UMNO, sebagai usaha penyatuan semula orang Melayu di Sungai Manik melalui gagasan Rumah Bangsa.
“Kami berharap agar permohonan untuk menyertai UMNO dapat dipertimbangkan dengan segera bagi memberi ruang untuk kami menyumbang tenaga serta lain-lain perkara ke arah memperkuatkan lagi UMNO bagi menghadapi pilihan raya yang akan menjelang, khususnya di DUN Sungai Manik ini,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Nazari Sabran berkata, pihaknya mengalu-alukan permohonan kumpulan tersebut, lebih-lebih lagi selepas UMNO memperkenalkan gagasan Rumah Bangsa untuk menyatukan semula orang Melayu, membawa pulang ahli yang keluar atau dipecat, serta merentasi perbezaan parti.
“Inilah Rumah Bangsa yang disebut oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selama ini.
“Saya mengharapkan Rumah Bangsa ini berdiri dengan teguh dalam satu ukhwah persaudaraan yang kuat untuk memastikan kesinambungan pembelaan masyarakat di kawasan setempat ini,” katanya.
Beliau memberi jaminan akan terus berusaha untuk membantu masyarakat di Sungai Manik yang majoritinya terlibat dalam sektor pertanian, khususnya penanaman padi.
Menurutnya, pesawah padi di Sungai Manik mudah terkesan dengan perubahan cuaca sehingga menjejaskan pendapatan mereka yang tidak menentu.