ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi mendapat perkenan  membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, 25 Jun depan.

Menurut ADUN Jeneri itu, beliau juga akan mempersembahkan cadangan pembubaran mewakili kerajaan negeri Kedah iaitu pada 28 Jun sempena hari wukuf di Arafah.

"Saya kena (dapat) perkenan Tuanku (Sultan Kedah) terlebih dahulu, saya akan menghadap 25 (Jun), saya bercadang persembahkan kepada Tuanku Sultan cadangan daripada kerajaan (negeri iaitu) adalah 28 (Jun), sempena hari wukuf, wukuf ini (bermaksud) berhenti.

"(Berkenaan) cadangan (itu), kalau Tuanku perkenan baru saya boleh umum secara rasmi, kalau Tuanku tak perkenan, (ataupun) titah (untuk) lanjut lagi, (kita) ada lagi (masa) beberapa hari, ataupun (Tuanku titah) bubar hari ini, (kita kena laksanakan), (itu semua) terserah kepada perkenan Tuanku," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas majlis penyerahan khemah, meja dan kerusi kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) sempena Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman, pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah itu mengesahkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan pada minggu keempat bulan hadapan.

Menurut beliau, tindakan lanjut selepas pembubaran berkenaan adalah di bawah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian.

Untuk rekod, Perikatan Nasional (PN) memiliki komposisi kerusi tertinggi di DUN Kedah dengan 21 kerusi dimana Pas mempunyai 15 kerusi diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan enam kerusi.

PH pula memiliki 10 kerusi DUN, Barisan Nasional (dua kerusi) dan Parti Pejuang Tanah Air (dua kerusi).