Sasaran Pas bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen, seterusnya memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi adalah realistik, bukan ramalan nujum pak belalang!

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, apa yang disasarkan itu berdasarkan kepada kekuatan yang ada pada parti itu.

“Pas bergerak atas kekuatan akidah perjuangan dan pengalaman. Hasrat Pas bertanding 130 kerusi menunjukkan kesungguhan parti mahu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah atau menjadi kuasa penentu dalam pembentukan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, dengan kekuatan 196 kawasan parlimen Pas daripada jumlah keseluruhan 222 parlimen seluruh Malaysia, selain keahlian mencecah sejuta orang, adalah logik Pas mengemukakan hasrat bertanding di 130 kerusi parlimen.

“Baki hanya 26 kawasan sahaja lagi belum ditubuhkan organisasi Pas. Pas kawasan Ranau ditubuhkan Oktober lalu merupakan kawasan ke 196,” katanya.

BACA: #MalaysiaMemilih: Pas sasar memerintah sendiri atau bentuk kerajaan campuran - Hadi Awang

BACA: #MalaysiaMemilih: Hasrat Pas bentuk sendiri kerajaan persekutuan 'angan-angan Mat Jenin' - Tun M


Ahmad Fakhruddin berkata, tambahan pula Pas bukannya bersendirian apabila wujudnya blok Gagasan Sejahtera, serta rakan bersekutu iaitu Parti Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia yang menerima corak politik Islam dipelopori Pas.

“Sasaran Pas menang sekurangnya 40 kerusi adalah realistik. Jika menang lebih, lagi baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ramalan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang mendakwa Pas hanya mampu menang lima kerusi Parlimen pada PRU14 berdasarkan kepada senario politik semasa.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah itu juga berpendapat rekod pencapaian Pas agak teruk ketika bersendirian, namun prestasi parti itu meningkat ketika bersama BN atau Pakatan Rakyat sebelum ini.

Ahmad Fakhruddin berkata, Pas meletakkan hala tuju politik yang jelas antaranya konsep berpolitik ‘Budaya Politik Matang Sejahtera’, Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 51) yang ketengahkan konsep negara berteraskan prinsip keadilan dan kesejahteraan, serta penyelesaian masalah berlandaskan syariah menerusi ‘Dokumen Hijau’.

“Saya andaikan parti komponen Pakatan Harapan sangat resah dengan ketegasan Pas mempertahankan pendekatan kami berdepan BN pada PRU14, sehingga menghalakan serangan bertali arus kepada Pas, namun hala tuju politik mereka tidak diperjelas sehingga rakyat tertanya-tanya,” katanya.

BACA: Hadi Awang pengkhianat, kata Tun Mahathir

BACA: Saya maafkan Dr Mahathir - Hadi

BACA: Pas bertanding di lebih 100 kerusi pada PRU akan datang - Takiyuddin


Menurutnya, parti itu juga lebih fokus membawa isu rakyat, antaranya isu ancaman politik wang melalui cadangan pengenalan akta dana pilihan raya bersama Gagasan Sejahtera di peringkat Persekutuan.

“Manakala di peringkat negeri, kami bawa masalah rakyat seperti kawalan harga barangan harian, isu bekalan air yang tidak berkesudahan serta isu pembalakan dilakukan kerajaan negeri Kedah,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, kreativiti Pas mencipta daya tarikan rakyat berbilang kaum terhadap parti itu menerusi aktiviti kemasyarakatan dan majlis dialog, ziarah mahabbah dan sebagainya menampakkan hasil.

“Tidak mustahil rakyat Kedah beri mandat kepada Pas dan Gagasan Sejahtera berdasarkan ‘produk’ yang kami ketengahkan,” katanya.

Menurutnya, Pas juga tidak ketandusan calon selepas beberapa wakil rakyatnya ‘lompat parti’.

“Ramai individu berkaliber dan komited dengan perjuangan politik, bijak mencerap situasi politik sedia ada. Pas Kedah pertaruhkan calon pelbagai latar belakang pendidikan, ketokohan dan mesra rakyat,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, calon juga diyakini berkeupayaan mengurus tadbir negeri dengan baik sekiranya diberi mandat.

“Pas sedikit pun tak terkesan dengan tindakan mereka lompat parti, sebaliknya serlahkan sikap dan prinsip perjuangan mereka,” katanya.