PEKAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini, menegaskan beliau merupakan penyokong kuat kepada pelaksanaan undi 18 dan menyifatkan usia tersebut sebagai umur kematangan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu turut berpandangan mereka yang tidak mempercayai orang muda dan tidak menyokong undi 18 sebagai 'ketinggalan zaman' dan tidak matang dalam berpolitik.

"Kita selalu tidak percaya kepada orang muda tetapi mahukan sokongan mereka. Kita harus ada keyakinan terhadap orang muda. Saya memang penyokong kuat dan lantang bersuara dalam hal ini kerana menaruh kepercayaan terhadap golongan ini.

"Kita mengatakan mereka tidak bersedia namun tidak membuat apa-apa untuk mendidik mereka. Usia 18 tahun adalah 'umur kematangan' di bawah undang-undang... sudah boleh memandu, boleh mengikat kontrak dan jika melakukan jenayah tidak dihadapkan sebagai juvana," katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di sini hari.

Hadir sama Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Zakaria Abdul Hamid, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang Zahari Ismail dan Pengarah Jabatan Penerangan negeri Mohd Salmun Mustafa.

Saifuddin yang merupakan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata beliau telah memperjuangkan idea mendidik orang muda memilih sejak dahulu, termasuk pernah mengemukakan idea murid diajar memilih pengawas menerusi sistem pilihan raya, namun ia tidak dipersetujui ramai.

Justeru, beliau berharap pelaksanaan undi 18 boleh bermula pada pilihan raya umum akan datang dan yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia untuk menguruskannya, dan jika ada perkara yang mengekang pelaksanaannya, diharap ia dapat diselesaikan segera.

"Saya faham jika ada kekangan khusus seperti diberitahu ia (undi 18) perlu diluluskan dewan undangan negeri (DUN) untuk pindaan kerana turut melibatkan bertanding di DUN dan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Tapi saya yakin ini dapat diatasi sebaiknya apabila DUN kembali bersidang," katanya.

Pada perkembangan lain, Saifuddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang berkata parti telah memulakan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya umum, selain turut mengukuhkan hubungan bersama PAS dan Gerakan.

"Hubungan antara Bersatu, PAS dan Gerakan di peringkat akar umbi nampak begitu baik dan mesyuarat pertama penubuhan Perikatan Nasional (PN) Pahang, insya-Allah akan diadakan pada 26 Mac ini, susulan kepada pertemuan tidak rasmi yang diadakan minggu lalu," katanya.

Mengulas mengenai program itu, Saifuddin berkata sepanjang empat hari menjelajah lapan daerah di Pahang, beliau menerima maklum balas yang cukup baik daripada pimpinan masyarakat berhubung isu darurat, vaksin COVID-19 dan kesalinghubungan internet.

-- BERNAMA