IPOH:Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berhubung keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang mengaku menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar yang baharu.

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, Bersatu Perak sudah menerima laporan mengenai kenyataan Hasnul Zulkarnain daripada Bersatu Bahagian Parit Buntar pada Ahad.

Beliau berkata, laporan tersebut akan dibincangkan di peringkat negeri sebelum dihantar ke peringkat pusat.

"Itu perkara asas... kalau kita membelakangi parti, bermaksud kita keluar partilah. Dalam soal ini, kita di peringkat negeri kita tak boleh pengumuman, kita hanya boleh buat laporan.

"Semalam saya baru terima laporan daripada Bersatu Bahagian Parit Buntar tentang kenyataan terbuka beliau itu, jadi perkara ini ada proseslah.

"Bahagian akan buat laporan negeri, negeri akan mesyuarat dan hantar laporan ke ibu pejabat. Tindakan seterusnya kita serah pada pusat tetapi prosedur parti kita kena ikut, tak boleh saya umum dia dipecat, tidak ada siapa yang ada hak itu kecuali HQ (ibu pejabat)," katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas sidang media di pejabat Menteri Besar Perak di Ipoh pada Isnin.

BACA: Hamzah tak perlu cari bukti, Hasnul akui tanda tangan SD sokong Saarani

Pada Sabtu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keahlian Hasnul Zulkarnain sebagai anggota Bersatu akan tergugur dengan sendirinya jika terbukti beliau tidak bersama agenda parti.

Berikutan itu, kata Hamzah, pihaknya tidak perlu mengambil sebarang tindakan ke atas wakil rakyat berkenaan yang didakwa menyokong usul undi percaya terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Disember lalu.

Mengenai dakwaan Hasnul Zulkarnain tidak mendapat tempat dalam parti, Zainol Fadzi berkata, luahan itu bersifat peribadi.

Menurutnya, usaha untuk melibatkan bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional itu di dalam parti telah diusahakan termasuk mencadangkannya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Pengerusi Jawatankuasa Program untuk jentera pilihan raya Bersatu Perak.