Sekiranya Ahli Parlimen dari kerajaan berjiwa besar, mereka seharusnya boleh terus bekerjasama dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, tidak perlu berlakunya pertukaran Speaker Dewan Rakyat kerana yang penting adalah jumlah ahli yang mencukupi dalam menyokong setiap usul.

“Dalam konteks pertukaran Speaker, memang sepatutnya kalau Ahli Parlimen di sebelah Kerajaan sekarang berjiwa besar, boleh teruskan seperti biasa, tiada masalah kerana yang penting adalah jumlah ahli mencukupi untuk menyokong setiap usul.

“Speaker akan tetap ikut kuasa majoriti tapi halangan yang paling besar dalam konteks berkenaan adalah membenarkan setiap usul, dasar, undang-undang kerajaan diluluskan di Parlimen kerana itulah kunci berkerajaan.

“Untuk menghilangkan halangan itu maka Speaker harus selari, senada kepada parti kerajaan,” katanya dalam Buletin AWANI Khas, di sini pada Isnin.

Tambahnya, dalam memastikan segalanya berjalan lancar, Mujibu menegaskan “halangan-halangan kecil seperti ini harus diselesaikan”.

“Kalaulah dasar kerajaan ditentang atau tidak mendapat favour daripada sepekaer, tentu kerajaan mendapat kesukaran.

BACA: Kelaziman baharu Parlimen: Hanya di pusat media, tiada sesi 'jolok'

BACA: Usul tukar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Kerajaan hadapi tentangan

BACA: Parlimen: Perubahan tempat duduk Ahli Parlimen


“Dengan keadaan Perikatan Nasional sekarang tidak begitu kukuh, setiap halangan-halangan kecil seperti ini harus diselesaikan,” ujarnya.

Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai hari ini bakal tertumpu kepada usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dewan dan timbalannya yang dijangka menghangatkan suasana hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14.

Usul itu adalah untuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff dan timbalannya, Kor Ming mengosongkan jawatan mereka.