Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyangkal dakwaan kononnya beliau bersekongkol dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tegasnya, beliau telah mengarahkan peguam negeri untuk mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan yang dibuat sesetengah pihak.

"Itu satu fitnah dan saya telah minta peguam negeri untuk ambil tindakan undang-undang. Semasa saya jumpa TYT (Tun Juhar), ada beberapa wakil rakyat juga bersama saya.

"Saya cuma memberi nasihat kepada TYT, mana ada saya beri apa-apa dan saya tak ada hak untuk bubarkan kerana dalam Perlembagaan cukup jelas.

"Saya tidak boleh ulas lanjut kerana nanti ia kes mahkamah ketika ini," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

BACA: Istana negeri Sabah sangkal dakwaan salah guna kuasa Tun Juhar

Ditanya berkenaan logo yang akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Shafie berkata, Parti Warisan Sabah (Warisan) serta sekutunya masih mengadakan perbincangan lanjut sebelum sebarang ketetapan dibuat.

"Logo ini kita akan lihat nanti dan saya tidak akan tetapkan logo yang perlu diguna pakai. Ini kerana rakyat bukan menilai berdasarkan logo, tetapi mereka akan tengok apa yang sesuai di hati mereka," ujarnya.

Mohd Shafie sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kg Tanjung Batu Otentik dan Penyerahan Geran Tanah Daerah Tawau dan Kalabakan di sini pada Sabtu.

Pada 5 Ogos lalu, G57 membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadap Tun Juhar yang didakwa menerima imbuhan tertentu untuk membubarkan DUN Sabah.