Skip to main content

Politik

"Selepas Ahad kita bercakap..." - Anthony Loke elak sentuh status dalam Kerajaan

Putrajaya ,13 Ogos 2026.Menteri Pengangkutan Anthony Loke melakukan gimik perasmian berikutan Kerjasama Strategik diantara Jabatan Pengangkutan Jalan dan Monsta berikutan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kebangsaan Kementerian Pengangkutan 2026 di Kementerian Pengangkutan.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Anthony Loke enggan mengulas mengenai kedudukannya sebagai Menteri Pengangkutan serta status parti itu menjelang Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang akan berlangsung pada Ahad ini. - Gambar fail Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Advertisement

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke enggan mengulas mengenai kedudukannya sebagai Menteri Pengangkutan serta status parti itu menjelang Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Beliau, sebaliknya menegaskan, perkara berkenaan hanya akan disentuh selepas persidangan tersebut selesai.

"Bagaimana anda boleh fikir ini sidang media terakhir saya? Saya tidak pernah berkata demikian. Selepas Ahad (Persidangan Kebangsaan), kita bercakap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pengangkutan, di sini, pada Khamis.

Loke menjawab pertanyaan media sama ada sidang media itu merupakan yang terakhir baginya sebagai Menteri Pengangkutan menjelang Persidangan Kebangsaan DAP 2026.

Persidangan berkenaan dijangka menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju parti, termasuk sama ada DAP akan terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa. 

Usul berkaitan perkara itu dijadual dibentangkan oleh Loke.

Keputusan terhadap usul tersebut akan ditentukan menerusi undian 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu, Loke turut menafikan beliau berada dalam keadaan gementar menjelang persidangan berkenaan, sebaliknya menegaskan beliau kekal tenang.

"Adakah saya nampak gementar? Saya tidak tahu mengapa anda bertanya soalan sedemikian. Saya sangat tenang hari ini," katanya.

Must Watch Video

Advertisement