Pengumuman pembentukan kerajaan Kedah yang baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) susulan kerajaan Pakatan Harapan hilang majoriti pada Selasa, dilihat bertepatan dengan masa.

Ia sekali gus menamatkan pelbagai andaian mengenai situasi politik negeri ini sejak beberapa bulan lalu.

Teka-teki itu kini terjawab sudah, namun rakyat Kedah mempunyai pelbagai pandangan tatkala gelora politik negeri jelapang padi ini meletup di tengah-tengah negara sedang menangani pandemik COVID-19.

Wakil Astro AWANI di Kedah mendapatkan reaksi rakyat di akar umbi yang telah memilih dan memberi mandat kepada wakil yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu untuk meneraju kepimpinan negeri.

Bagi pesara kerajaan, Amran Mohd Rejab, sesiapa pun yang menjadi Menteri Besar (MB) menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas ini, harus memelihara kestabilan politik yang seterusnya memberi kesejahteraan kepada rakyat.

"Harapan saya, terutama sekali, dengan tampuk pimpinan yang dipilih oleh rakyat yang terbaru, dengan bertukar kerajaan baru, saya harap akan lebih maju.

"Mungkin di peringkat awal akan nampak kelam kabut, tapi InsyaAllah dengan bantuan Allah, PN boleh melakukannya, terutamanya dengan diterajui oleh Pas sendiri.

"Harapan saya, siapa pun yang terpilih sebagai MB baharu, InsyaAllah akan boleh meneraju negeri Kedah ini," kata Amran, 58 tahun.

BACA: Dua bekas ADUN PKR Kedah berdepan tuntutan RM10 juta

BACA: ADUN Kuah, Ayer Hangat sahkan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz

Bagi Hafiz Ahmad Rafi, 25 tahun, apa pun yang terjadi dan siapa pun yang memegang amanah selepas ini, mereka harus dapat membawa sesuatu yang lebih baik kepada generasi muda.

Ia termasuk dari segi peluang pekerjaan, perniagaan dan pendidikan yang lebih luas.

"Saya tentulah hendak yang terbaik. Kita nak generasi muda kita berpelajaran tinggi dan dalam masa sama, beradab. Itu yang utama. Kita nak (pentadbiran negeri) yang lebih tersusun," tambahnya.

BACA: Perubahan kerajaan negeri Kedah wajar, tamatkan spekulasi - Penganalisis politik

BACA: Muhammad Sanusi dijangka MB Kedah baharu?

Sementara itu, kontraktor Mohd Syukri Mad Akhir berpandangan, isu COVID-19 sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu, sambil menambah, ini bukan masa yang sesuai untuk bertelagah dan berbalah tentang politik.

Katanya, pemimpin negeri seharusnya lebih mendahulukan pentadbiran negeri dan berusaha meningkatkan ekonomi.

"Di tengah gejala COVID-19 ini, tak payahlah bab-bab politik. Jangan terlalu mengejar keduniaan, kena fikir akhirat juga.

"Sekarang, Kerajaan Negeri Kedah pun sudah terumbang-ambing dalam bab politik. Ini pun haru juga. Apa yang saya harapkan ialah, buat masa sekarang, dalam keadaan isu COVID-19 ini, kita lupakan sekejap bab politik.

"Hari Raya pun dah hampir menjelang, kita lupakan sekejap bab politik. Selepas Hari Raya nanti, terpulang kepada mereka yang berkecimpung dalam arena politik," kata Mohd Syukri, 50 tahun.

Kemelut politik negeri Kedah bergolak selepas 19 daripada 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz pada Selasa.