Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muallim berakhir pada pukul 5.30 petang.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kemas kini di laman Twitter, sebanyak 96.25 peratus daripada 267 pengundi awal keluar menjalankan tanggungjawab mereka hari ini.

Jelas SPR, peratusan itu mewakili seramai 257 pengundi daripada jumlah keseluruhan pengundi awal polis.

Proses pengundian awal turut disaksikan oleh ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR, selain ia disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR.

Tinjauan Astro AWANI sepanjang proses tersebut juga mendapati ia berjalan dengan lancar.
BACA: LIPUTAN KOMPREHENSIF SLIM MEMILIH DI SINI


PRK DUN Slim merupakan PRK kedua selepas PRK DUN Chini, yang dilaksanakan dalam kebiasaan baharu, dan mengamalkan garis panduan pencegahan COVID-19.

Sebaik sahaja proses pengundian selesai, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di bilik menunggu di Majlis Daerah Tanjung Malim.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, Amir Khusyairi dan S.Santharasekaran.