KUALA LUMPUR: Dakwaan Ahli Parlimen Arau,  Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung gerakan mendapatkan tandatangan ahli-ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibuktikan dengan fakta, demikian tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu lagi, DAP tidak mahu terlibat dengan masalah dalaman yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin utama UMNO ketika ini.

Malah tegas Guan Eng, DAP juga tidak melakukan sebarang perjumpaan rasmi dengan pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan berhubung kerjasama antara parti Pakatan Harapan (PH).

"Saya tidak mahu terjebak masalah keluarga UMNO kerana itu masalah dalaman mereka.

"Sama ada wujud atau tidak wujud, biar ia dibuktikan dengan fakta... itu yang saya sudah pasti kerana saya tidak saksi apa-apa tandatangan (sokongan ahli Parlimen UMNO) seperti yang disebutkan itu.

"Saya pun sudah sebutkan berkali-kali saya tidak pernah jumpa dengan Ahmad Zahid ataupun mana-mana pemimpin untuk berbincang mengenai perkara ini.

"Kalau jumpa pun macam kita dekat ruang lobi Parlimen, kita lalu dan kita salam sahaja. Tetapi tidak bincang tentang kerjasama politik sepertimana yang diuar-uarkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan 2021 di Hotel Pudu Plaza, di sini hari ini.

Konvensyen Biasa DAP | DAP tidak terlibat dengan gerakan tandatangan

Ditanya sama ada DAP akan menyokong gerakan tersebut sekiranya ia terbukti benar, Guan Eng enggan mengulas lanjut kerana ia disifatkan sebagai "andaian" semata-mata.

"Jadi di sini saya nak tegaskan sekali lagi saya tidak pernah jumpa pemimpin UMNO dan juga tidak pernah bincang tentang kerjasama politik seperti yang dinyatakan kepada saya pula, kita tidak ada kerjasama politik dengan UMNO.

"Sekarang Setiausaha parti tidak jumpa, saya rasa apa yang ditanya tadi tidak timbul langsung. Tetapi saya tidak mahu terlibat dengan masalah perebutan kuasa dalam UMNO.

"Jangan libatkan pihak kami, itu andaian. Sekiranya kita jawab tentang andaian jadi itu tidak akan habis. Biar ia dibuktikan dengan fakta dulu kerana kalau kita buat andaian tidak guna dan tiada hasil kepada semua pihak," ujarnya.

Politik | Akan dedahkan gerakan sokong Anwar


Terdahulu, Shahidan memaklumkan akan mendedahkan gerakan mendapatkan tandatangan ahli-ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Anwar.

Dalam sidang media khasnya, Shahidan mendakwa gerakan mendapatkan sokongan ahli Parlimen UMNO itu dilakukan ketika sidang Parlimen Oktober tahun lepas namun usaha itu menemui kegagalan.