KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berharap empat Ahli Parlimen dari PN yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dapat menarik balik tindakan mereka.

Mengakui kecewa, beliau berkata tindakan itu adalah tindakan individu dan tidak boleh dikaitkan dengan parti.

“Paling penting, ia merupakan suatu bukti menunjukkan bahwa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tidak tahu malu.

“Ini sebab mereka sendiri yang mengatakan bahawa mereka menentang aktiviti lompat dan sebagainya.

“Sepatutnya apabila empat Ahli Parlimen ini menukar sokongan mereka, mereka perlu tolak sokongan ini, kerana apa?

“Kerana ia bertentangan dengan prinsip yang mereka amalkan selama ini. Saya lihat bahawa apa yang kerajaan lakukan pada hari ini akan ‘memakan’ mereka.

“Mungkin tak lama lagi…atau mungkin satu masa nanti,” dakwanya.

Tambahnya, setakat ini, berdasarkan maklumat diterima beliau, tiada Ahli Parlimen daripada Pas yang didekati inidividu yang bertindak untuk cuba memujuk mereka menyokong Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Sehingga kini empat Ahli Parlimen PN daripada Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan pendirian menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pada Khamis tindakan empat Ahli Parlimen itu tidak berkaitan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat untuk bertukar parti yang boleh menyebabkan mereka hilang kerusi di Parlimen.