Sokongan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap calon Barisan Nasional (BN) adalah antara faktor kemenangan besar parti itu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemenangan itu sekali gus menyaksikan masa depan Perikatan Nasional (PN) amat cerah.

"Saya ucapkan tahniah kepada BN, rakan kami dalam Muafakat Nasional (MN) yang berjaya memenangi PRK di Chini.

"Dengan kemenangan yang diterjemahkan oleh rakyat menerusi undi, saya boleh melihat masa depan PN yang cerah," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Kota Bharu, Kelantan di sini, pada Ahad.



Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berharap momentum itu akan terus dikekalkan pada masa yang akan datang.

Dalam PRK itu, Mohd Sharim Md Zain daripada BN menang besar dengan 13,872 undi daripada keseluruhan 15,231 pemilih berdaftar yang keluar mengundi di kawasan itu.

Sementara itu, calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli yang masing-masing mendapat 1,222 dan 137 undi dilihat hilang deposit.