KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir kekal wakil rakyat bebas, menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya mengesahkan perkara itu setelah meneliti dokumen-dokumen yang telah dihantar daripada kedua-dua pihak.

"Sebab mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, apa-apa peletakan jawatan yang pre-signed dan undated (tidak bertarikh) adalah batal.

"Jadi mengambil kira kedudukan undang-undang yang ada sekarang mengenai undated, pre-signed letter of resignation. Maka saya mengambil keputusan bahawa kawasan Dun Sebatik masih kekal, tidak kosong," katanya.

Tambahnya, beliau tidak mahu membincangkan soal perjanjian Adun Sebatik dengan Warisan, kerana itu adalah antara mereka.

"Tapi yang saya pertimbangkan ialah kesahihan surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh itu, mengikut undang-undang yang ada sekarang. Bagi saya surat itu tidak efektif, maka tidak ada kekosongan.

"Kalau kita ambil kira kenyataan-kenyataan daripada Presiden Warisan dan Setiausaha Agung, mereka sendiri mengakui bahawa semua calon-calon mereka telah menandatangani perakuan, jadi kalau ada tarikh 26 Februari, macam mana pula daripada bulan September dulu dia boleh tetapkan 26 Februari untuk letak jawatan. Di mana logiknya?," katanya pada

Jelasnya, beliau telah menerima dua dokumen yang telah dihantar oleh kedua-dua belah pihak ke Pejabat Speaker, kelmarin.

"Yang pertama saya terima ialah, dokumen akuan bersumpah menarik balik dan membatalkan surat peletakan jawatan Adun Sebatik yang dia telah dikatakan menandatangani semasa menjadi calon pilihan raya yang lepas.

"Dalam akaun bersumpah itu juga, beliau menarik balik segala yang dia ada meletakkan jawatan dan dia memaklumkan bahawa dia memutuskan untuk keluar daripada parti Warisan untuk menjadi Adun bebas dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan GRS," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Politik Sabah | Surat ADUN Sebatik letak jawatan diserah

Dokumen tersebut katanya lagi telah diserahkan oleh Adun Sebatik sendiri pada 11.45 pagi kelmarin.

"Selepas itu, pada jam 12.15 tengah hari, di mana satu dokumen disampaikan oleh Setiausaha Agung Warisan, kepada pembantu saya, bukan kepada saya sendiri, kepada pembantu saya. Iaitu surat peletakan jawatan ADUN Sebatik," katanya lagi.
 
[TERKINI] Peletakan jawatan ADUN Sebatik: Sidang media Speaker Dun Sabah

Pada 25 Feb, Hassan A Gani memaklumkan beliau kini seorang ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri Sabah di bawah GRS serta kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Mohd Shafie kemudian pada Isnin memberitahu Warisan sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hassan A Gani.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September tahun lepas, Hassan A Gani memenangi kerusi DUN Sebatik atas tiket Warisan dalam persaingan tujuh penjuru dengan memperoleh 2,665 undi.