Ringkasan AI
- Startup Malaysia berpotensi berkembang ke peringkat serantau dan global hasil gabungan bakat, pembiayaan serta sokongan kerajaan dan sektor swasta.
- Cradle LIVE! Summit 2026 menumpukan usaha memperluas impak startup tempatan ke pasaran ASEAN melalui platform seperti Startup ASEAN dan kerjasama pelbagai pihak.
- Alliance Bank dan Cradle menegaskan kepentingan bimbingan awal, kerjasama institusi serta akses menyeluruh bagi memperkukuh daya tahan dan daya saing startup Malaysia.
KUALA LUMPUR: Startup Malaysia mempunyai potensi besar untuk berkembang ke peringkat serantau dan global, didorong oleh kombinasi bakat, akses pembiayaan serta sokongan kukuh daripada kerajaan dan sektor swasta.
Mesej itu antara yang diketengahkan dalam Cradle LIVE! Summit 2026, platform tahunan anjuran Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) yang menghimpunkan pengasas startup, pelabur, pemain industri dan pembuat dasar bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Bertemakan 'Build in Malaysia. For ASEAN & Beyond' edisi tahun ini memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan impak startup tempatan ke pasaran serantau, khususnya ASEAN yang mempunyai hampir 700 juta penduduk.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai semua elemen asas yang diperlukan bagi melahirkan syarikat pemula berdaya saing.
Menurut beliau, peluang terbesar kini terletak pada kemampuan startup tempatan menembusi pasaran di luar negara dan memanfaatkan potensi ekonomi serantau.
"Malaysia mempunyai semua ramuan yang diperlukan. Kita mempunyai bakat, pembiayaan serta sokongan daripada sektor awam dan swasta.
"Apa yang perlu dilakukan dengan lebih agresif ialah membawa penyelesaian dan produk yang dibangunkan startup tempatan ke pasaran serantau dan global," katanya.
Beliau berkata, ASEAN menawarkan pasaran pengguna yang luas dan menjadi platform semula jadi untuk syarikat Malaysia mengembangkan operasi sebelum memasuki pasaran antarabangsa yang lebih besar.
Seiring aspirasi tersebut, Cradle turut memperkukuh platform Startup ASEAN, yang kini berfungsi sebagai pusat kecemerlangan digital pertama seumpamanya di rantau ini.
Platform itu bukan sahaja berperanan sebagai hab jaringan ekosistem startup, malah menyediakan akses kepada maklumat pasaran, risikan industri, peluang kerjasama serta hubungan dengan pelabur, syarikat korporat dan pemain industri dari seluruh ASEAN.
Menurut Norman, pendekatan itu bertujuan mewujudkan pintu masuk yang lebih mudah dan menyeluruh bagi startup Malaysia yang bersedia untuk berkembang merentasi sempadan.
Pada masa sama, pembangunan startup yang mampan memerlukan kerjasama lebih erat antara pelbagai pihak termasuk institusi kewangan, organisasi pembangunan keusahawanan dan institusi pendidikan.
Alliance Bank, misalnya, melihat sokongan kepada startup perlu bermula lebih awal daripada sekadar penyediaan pembiayaan.
Menurut Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance bank Malaysia Berhad, pendekatan yang diamalkan berpaksikan konsep Advocacy, Advice dan Answers, dengan penekanan diberikan kepada bimbingan dan pembangunan perniagaan sebelum aspek pembiayaan.
"Kami percaya hubungan antara perniagaan dan bank tidak seharusnya bermula apabila syarikat memerlukan dana semata-mata.
"Penglibatan sejak peringkat awal membolehkan kami membantu perniagaan membina asas yang lebih kukuh termasuk dari segi disiplin kewangan dan perancangan pertumbuhan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan kepada usahawan tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian.
Justeru, Alliance Bank bekerjasama dengan Cradle serta institusi pengajian tinggi bagi menyediakan penilaian yang lebih praktikal dan berasaskan data terhadap peluang serta risiko yang dihadapi startup dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kerjasama sedemikian dilihat sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing startup tempatan dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
Sementara itu, Norman menegaskan, Cradle kekal komited untuk memastikan tiada pengasas startup tercicir daripada mendapat akses kepada sokongan yang disediakan.
"Kami mahu membantu sebanyak mungkin pengasas dan memastikan lebih 5,000 startup di Malaysia mempunyai akses kepada peluang, rangkaian dan sumber yang diperlukan untuk berkembang," tambahnya ketika ditemu bual khas dalam program Niaga AWANI pada Khamis.
Sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai pemegang taruh ekosistem inovasi, Cradle LIVE! Summit 2026 mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkasa syarikat pemula serta memperluaskan jejak inovasi tempatan ke peringkat serantau dan antarabangsa.
Selaras dengan tema, penganjuran sidang kemuncak pada 4 dan 5 November 2026 itu bukan sahaja meraikan kejayaan startup tempatan, malah membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama, pelaburan dan peluang pertumbuhan yang mampu menjadikan Malaysia antara hab inovasi utama di ASEAN.