ALOR SETAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menerima watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang diserahkan Pejabat DUN dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah.

Watikah itu diterima Pengarah SPR Kedah Aldrina@Mimi O.P. Andu yang diserahkan Setiausaha DUN Kedah Mohamad Azlee Ahmad di Wisma Darul Aman, di sini.

DUN Kedah penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini selaras dengan perkenan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad lepas, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Terdahulu turut diadakan majlis penyerahan kenderaan rasmi exco Kedah yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Norizan Khazali.

Muhammad Sanusi ketika ditemui selepas majlis itu berkata penyerahan kenderaan rasmi oleh exco kerajaan negeri itu bagi mengelak pemimpin berkenaan dituduh menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk program politik parti.

"Saya yakin semua ahli exco ada kereta masing-masing termasuk saya, kereta peribadi, walaupun selepas ini kita akan menjalankan lagi tanggungjawab exco, datang mesyuarat, pergi program, kita semua naik kereta sendiri, itu lebih baik, saya rasa selamat daripada (tuduhan)," katanya.

Muhammad Sanusi berkata mulai hari ini, kerajaan interim atau 'caretaker government' akan menguruskan kerajaan negeri berlandaskan garis panduan yang ditetapkan oleh Penasihat Undang-undang Kerajaan Kedah.

"Perubahan tak banyak, hanya tinggal dasar-dasar baharu yang libatkan kewangan tidak boleh dibuat, mesyuarat exco masih berjalan untuk putuskan beberapa perkara penting dan rutin kerajaan, itu masih boleh dilaksanakan," katanya.

Kedah antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Negeri ini mempunyai 36 kerusi dengan kedudukan kerusi DUN Kedah sebelum pembubaran menyaksikan Perikatan Nasional memiliki 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6); Pakatan Harapan menguasai 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); Barisan Nasional menang dua kerusi (UMNO-2) dan Parti Pejuang Tanah Air (2).

Dua lagi kerusi kosong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun daripada PKR Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Dis tahun lepas yang kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala ADUN Belantek Datuk Mohd Isa Shafie pula meninggal dunia 14 Jun lepas.

-- BERNAMA