SEREMBAN: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak secara bebas.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap SPRM yang menyatakan tiada unsur rasuah dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu pada Jumaat lepas.

Menurutnya, badan itu perlu bebas agar rakyat tidak hilang kepercayaan kepada institusi seperti SPRM.

"Sebab itu (kenyataan berkaitan Ahmad Zahid) orang pertikai. Saya bukan nak pertikai kenyataan SPRM.

"Tetapi bagi kita... kita perlu, mungkin satu panduan, yang mana boleh dan mana tak boleh.

"Tak nak sekejap kata boleh. Bila pembangkang sediakan bas pun tak boleh sedangkan ini 'direct' bagi duit.

"Dalam keputusan pilihan raya Kuala Terengganu, benda macam ini dianggap salah oleh mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai Ceramah Kelompok DUN Paroi di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, mengulas keputusan Pas tidak menyenaraikan Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau menegaskan Nik Abduh sendiri memang enggan bertanding.

"Dia sendiri pun beritahu tak nak tanding, kalau boleh tak nak tanding. Jadi parti dah buat keputusan, kekal keputusan dia tak nak tanding.

"Nak tumpu sekolah dia. Secara peribadi saya jumpa dia semalam, ziarah dia, dia masih kekal.

"Tak ada isu. Terus istiqamah…tak ada isu sangat dari segi peribadi," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan sudah menyerahkan kepada polis kes cermin ibu pejabat parti itu yang didakwa dipecahkan baru-baru ini.

"Kita serah pada polis, laporan telah dibuat, dan InsyaAllah polis kata dalam siasatan.

"Kita yakin dalam masa terdekat sebab ada rakaman CCTV. Saya difahamkan begitu. Kita harap boleh selesai dalam masa terdekat," ujarnya.