Petikan ucapan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ‘mengarwahkan’ calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, hanya kesilapan kecil sahaja.

Karmaine berkata, beliau tidak mengambil hati mengenai perkara itu, namun menegaskan ia tidak perlu sampai dijadikan bahan politik parti pembangkang.

“Tersilap (sahaja), tak apalah. Tak ada hal punya. Tiada apa. Kadang-kadang kita pun tersilap cakap, tersasul. Bagi saya tiada masalah langsung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul di sini, hari ini.

Semalam, sewaktu berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sawah di sini, Syed Saddiq, yang juga Ketua Armada Bersatu, tersasul memanggil Karmaine sebagai 'Arwah Haji Karmaine'.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang mewakili PH, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon Barisan Nasional daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Sementara itu, Karmaine berkata, komitmen Kerajaan Pakatan Harapan dalam menegakkan syiar Islam tidak seharusnya dipertikaikan lagi.

Beliau berkata, dakwaan pihak pembangkang bahawa Islam akan tergugat apabila kerajaan baharu mengambil alih, langsung tidak berasas sama sekali.

“Memang itu menjadi pegangan kita selama ini. Apa pun kita punya pertukaran pemerintahan, agama Islam (tetap) menjadi agama rasmi Persekutuan.

“Dalam Perlembagaan pun dah tempatkan Islam di tempat sebenarnya. Jadi, saya rasa tiada masalah. (Pakatan Harapan didakwa) tidak mempertingkatkan agama Islam, ini tidak betul.

"Saya tengok kerajaan baru ini, (perkara) berkaitan agama Islam pun telah ditambah,” katanya lagi.