Tidak perlu menunggu pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk mengatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Katanya jika salah satu parti telah meluluskan usul (untuk memutuskan hubungan), maka semua pihak perlu hadapi kenyataan itu dan tidak perlu untuk ketiga-tiga parti memutuskannya.

“Tidak, jika satu parti telah meluluskan usul, maka itu yang perlu kita hadapi,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen pada Selasa.

BACA: Pakatan Rakyat sudah berkubur - Guan Eng

BACA: "Pakatan Rakyat kini tinggal sejarah" - Netizen

BACA: DAP lah habis, Pakatan Rakyat belum habis - Nik Abduh

BACA: Menanti gabungan baharu selepas Pakatan Rakyat

Beliau bagaimanapun tidak mengatakan bahawa Pakatan Rakyat telah bubar, tetapi tidak lagi wujud.

Menurut Kit Siang, dengan terkuburnya Pakatan Rakyat, sudah tiba masa untuk memberikan harapan baru kepada rakyat.

“Kita tidak mahu harapan rakyat untuk ubah seperti masa pilihan raya umum ke-13 dahulu, mati,” katanya.

Ujar beliau, pihaknya perlu menerima hakikat terkuburnya Pakatan Rakyat, dan mulakan hidup baharu.

Katanya harapan baharu itu penting kerana aspirasi rakyat pada PRU13 dahulu masih relevan, dan penyusunan semula politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 perlu dilakukan.

“Bagaimana rupa penyusunan semula ini? Hanya masa akan menentukan… DAP tidak mahu bertindak melulu,” kata Kit Siang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu mempertahankan pendiriannya bahawa Pakatan Rakyat sudah terkubur.

Terdahulu, Jawatankuasa Pusat DAP yang bermesyuarat malam tadi memutuskan Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata Pakatan Rakyat dibentuk oleh muafakat tiga parti serta terikat dengan rangka dasar bersama, usul muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah menamatkan Pakatan Rakyat.

Kit Siang sebelum ini juga telah mengeluarkan kenyataan sama Jumaat lepas.

Dalam kenyataan itu, beliau telah pun beranggapan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud selepas parti sekutunya, PAS meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi atau hubungan politik dengan DAP pada Muktamar tahunannya, 6 Jun lalu.

Beliau mempersoalkan tindakan PAS yang mahu merujuk usul itu ke Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat untuk dikaji.

Katanya usul itu sememangnya dimaksudkan untuk dikuatkuasakan serta-merta, dan tidak ada klausa yang melayakan ianya dibawa untuk dikaji oleh Majlis Syura atau jawatankuasa pusat.