Menyedari kos sara hidup memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat terutama sekali golongan berpendapatan rendah (B40), PKR berjanji akan menambah kuasa membeli kepada rakyat bagi meningkatkan pendapatan golongan itu sekiranya diberi mandat menerajui kerajaan persekutuan.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, kuasa membeli rakyat adalah penting supaya golongan B40 dapat berbelanja serta menabung dengan pendapatan yang diperolehi.

“Sekarang, apa yang kita lihat ialah apabila rakyat berbelanja, sebahagiannya akan disalurkan kepada cukai yang turut digunakan kerajaan bagi membayar hutang-hutang negara,” kata beliau ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran KIT Kempen PRU-14 Pemuda HARAPAN Malaysia di ibu negara.

BACA: Andainya setiap keluarga di Malaysia ada bisnes online...

Beliau yang bakal bertanding di Parlimen Setiawangsa menjelaskan, beberapa pelan akan dilaksanakan termasuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


“Gaji mininum akan ditingkatkan kepada RM1,500 secara berperingkat. Selain itu, kami akan menyediakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kaum suri rumah,” tambahnya.


Nik Nazmi berkata, beberapa pelan akan dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Nik Nazmi turut mengatakan akan menyediakan lesen motosikal secara percuma bagi golongan belia yang ingin mendapatkan lesen tersebut malah meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan B40.

Sementara itu, calon-calon yang bertanding atas tiket PKR akan membariskan lebih 70 calon muda bawah 40 tahun bagi kerusi Parlimen dan DUN seluruh Malaysia.

Langkah itu merupakan manifestasi PKR bagi mengutamakan suara golongan belia agar aktif dalam pembentukan polisi negara dan meraikan perayaan demokrasi pada 9 Mei ini.