KUALA NERUS : Tanggapan Pas mengetepikan UMNO dan memilih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah tidak benar, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden Pas itu berkata, parti itu dengan UMNO masih mempunyai hubungan dan mesyuarat Muafakat Nasional (MN) juga masih berjalan.

Katanya dalam waktu yang sama, Pas juga merupakan parti kompenan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Anggapan ini tidak betul… sebab pertama sekali kita masih ada dalam Muafakat Nasional, cuma anggapan itu timbul sebab PN didaftarkan dan bila didaftarkan, Pas menjadi komponen.

“Jadi itu orang anggap seolah-olah kita nak tolak UMNO. Sebenarnya tidak, sebab UMNO dah ada Barisan Nasional (BN) dan mereka pun buat kenyataan bahawa akan bertanding atas tiket BN.

“Jadi Pas menghargai hak BN untuk bertanding atas lambang dia… tapi bukan kita putus hubungan, tidak. Kita masih lagi bersama,” katanya.

Jelas beliau, kenyataan bersama yang dikeluarkan Setiausaha Pas dan Bersatu juga adalah normal.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menjelaskan, Pas kagum dengan pendirian pemimpin UMNO untuk tidak memutuskan hubungan dengan parti tersebut, sama juga dengan pendirian kepimpinan Bersatu.

“Kita masih mengekalkan hasrat Pas supaya umat ini kena bersatu. Cukuplah kita berpecah lama…  50, 60 tahun kita berpecah hadapi pilihan raya,” katanya lagi.

Terdahulu, Pas mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, iaitu PN bersama-sama dengan Bersatu yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, jemputan itu termasuk juga kepada golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.