KANGAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis penggal keempat yang ditangguhkan sebelum ini ditetapkan semula pada 3 hingga 5 Jun ini.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata penetapan tarikh baharu itu telah diperkenankan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Advertisement
Beliau berkata kerajaan negeri sedang merangka hala tuju kepimpinan termasuk penubuhan jawatankuasa peneraju ataupun jawatankuasa perancang Perlis maju yang akan diumumkan semasa penggulungan sidang DUN nanti.
“Kita sedang menyusun hala tuju untuk ekonomi, pelancongan, agama, pendidikan dan sebagainya. Fokus kepada hala tuju itu mengambil masa, (sebab itu) saya memohon dan mencadangkan pindaan tarikh dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Jadi saya yakin dengan tarikh baharu yang telah diperkenankan iaitu 3 hingga 5 Jun, persiapan untuk kita umumkan hala tuju pembangunan ekonomi Perlis akan dibentangkan pada sidang DUN nanti,” katanya.
Terdahulu, surat pemakluman mengenai penangguhan sidang DUN Perlis yang sepatutnya berlangsung dari 21 hingga 23 April itu dikeluarkan pada 17 April lepas, sebelum ia tular di media sosial hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
-- BERNAMA