POLITIK
Tengku Zafrul masuk PKR: Altimet serah kepada pimpinan tentukan calon PRU16 di Ampang

Menurut Altimet, calon pilihan raya tidak terikat kepada alamat permastautin, lokasi cabang dianggotai atau jawatan dalam parti mengikut syarat yang ditetapkan SPR.
KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 Parlimen Ampang, susulan pengesahan kemasukan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai ahli PKR cabang itu.
Ringkasan AI
- Ketua PKR Cabang Ampang, Altimet, menyatakan masih terlalu awal untuk menentukan calon PRU-16 bagi Parlimen Ampang dan menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi parti.
- Altimet menegaskan bahawa pemilihan calon tidak terikat kepada lokasi permastautin atau jawatan dalam parti, serta mengalu-alukan penyertaan pelbagai latar belakang demi membina Malaysia yang adil dan progresif.
- Kenyataan ini dibuat susulan pengesahan Tengku Zafrul sebagai ahli PKR Cabang Ampang selepas keluar daripada UMNO, dengan fokus cabang kini tertumpu kepada gerak kerja akar umbi dan agenda reformasi.
“Mengenai desas-desus calon Ahli Parlimen bagi PRU akan datang, Cabang Ampang ingin memaklumkan masih terlalu awal untuk membuat keputusan.
“(Cabang) menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada pimpinan tertinggi parti selaras dengan amalan demokrasi dalaman PKR,” katanya menerusi kenyataan media yang disiarkan pada Ahad.
Menurut Altimet, calon pilihan raya tidak terikat kepada alamat permastautin, lokasi cabang dianggotai atau jawatan dalam parti mengikut syarat yang sudah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau turut mengalu-alukan mana-mana individu, tanpa mengira latar belakang, untuk bersama-sama menyertai parti itu dalam usaha membina Malaysia yang lebih adil, makmur dan progresif.
“Fokus kami adalah memperkukuh gerak kerja di akar umbi, membela kebajikan rakyat serta memastikan agenda reformasi yang dibawa oleh YAB PMX dan kepimpinan parti dapat direalisasikan dengan berkesan,” ujarnya lagi.
Kenyataan tersebut dibuat susulan Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, mengesahkan bahawa permohonan keahlian beliau menyertai parti PKR telah diterima dua minggu lepas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami