SUNGAI PETANI: Terdapat peningkatan sokongan pengundi Melayu di Kedah dan Kelantan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata dalam tempoh tujuh hari pertama kempen, sokongan Melayu terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan secara purata di Kedah meningkat sebanyak tujuh peratus dan mendakwa setakat ini, lapan kerusi telah berada di dalam tangan mereka.

"Jika kita teruskan momentum daripada minggu pertama ini, saya tak kata kita boleh menang tapi yang diuar-uarkan oleh Perikatan Nasional (PN) mereka akan menang besar sampai 36-0 (di Kedah), saya tak nampak itu akan berlaku malah sebenarnya ia jauh lebih sengit daripada yang disebutkan," katanya kepada pemberita selepas program Jelajah MADANI di sini pada Sabtu.

Beliau berkata situasi serupa turut berlaku di Kelantan di mana sokongan kepada UMNO mencecah tahap 46 peratus setakat minggu pertama kempen manakala PH pula menyaksikan peningkatan sokongan daripada 10 peratus kepada 35 peratus.

"Ini bermaksud dalam tempoh enam bulan, sokongan Melayu di Kelantan kepada PH telah meningkat tiga kali ganda dan sudah hampir sama dengan sokongan Melayu di Kedah sedangkan selama ini, PH bertanding di Kelantan hilang deposit.

"Jadi sama ada ia mencukupi untuk lepasi 50 peratus, saya rasa ada kerusi yang BN bertanding akan lepasi 50 peratus. Ada juga satu kerusi yang saya ingat PH ada harapan untuk menang dan ada kerusi yang sebelum ini kubu kuat PAS, kalau kita kalahpun kita kalah dalam margin 10 peratus sahaja," katanya.

Rafizi berkata berdasarkan momentum kempen dan dapatan kaji selidik yang dibuat setiap minggu, PH berada di depan serta bakal menang selesa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, justeru dakwaan PN kononnya Kerajaan Perpaduan tidak mendapat sokongan Melayu adalah tidak benar sama sekali.

-- BERNAMA