KUALA LUMPUR: Anthony Loke mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan susulan gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.
Beliau selaku Setiausaha Agung DAP berkata, keputusan tersebut diambil berdasarkan keputusan peribadi tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
“Tiba masa untuk saya berundur sebagai Pengerusi Negeri dan menyerahkan kepada pimpinan negeri untuk melantik dan memilih daripada Ahli Jawatankuasa sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di ibu pejabat DAP selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di sini hari ini.
Anthony berkata jawatan yang telah dipikulnya selama 22 tahun itu secara rasminya akan dilepaskan selepas satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Negeri Sembilan minggu ini.
Jelasnya, jawatan tersebut tidak perlu melalui proses pemilihan semula dan boleh diputuskan dalam kalangan ahli jawatankuasa.
"Saya akan memanggil satu mesyuarat dalam masa berapa hari ini, supaya jawatankuasa negeri DAP Negeri Sembilan boleh dirombak semula dan memilih seorang pemimpin baru menjadi pengerusi DAP Negeri Sembilan," katanya.
Turut hadir Penasihat DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.
Pada Ahad, Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan menyatakan solidariti dan sokongan penuh terhadap Anthony untuk terus menerajui DAP Negeri Sembilan sebagai pengerusi.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, kepimpinan Anthony telah terbukti dan diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam sejarah DAP Negeri Sembilan
Anthony tewas kepada calon Barisan Nasional, Siow Kong Choon daripada MCA dengan majoriti 688 undi daripada 10,918 pengundi.
Anthony mewakili DUN Chennah selama tiga penggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan 2018, sebelum mempertahankannya pada PRN Negeri Sembilan 2023.
Sebelum berpindah ke Chennah, beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak selama dua penggal selepas memenangi kerusi itu pada PRU 2004 dan 2008.
Pada masa sama, Anthony juga berperanan sebagai Ahli Parlimen dari Negeri Sembilan mewakili Rasah pada 2008 sebelum berpindah ke Seremban sejak 2013.
Secara tradisinya, DAP lmenguasai beberapa kerusi DUN di Negeri Sembilan seperti Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Seremban Jaya, Mambau, Lukut, Nilai, Bahau dan Repah sejak PRU 2013.
Di peringkat Parlimen pula, DAP secara konsisten menguasai dua kerusi utama iaitu Seremban dan Rasah.