TAIPING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kekal sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN) setakat 9 Ogos, kata Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurutnya, kedudukan itu tidak berubah meskipun terdapat pemimpin Bersatu yang dilaporkan mempertikaikan keabsahan kepimpinan jawatankuasa PN kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Buat masa ini sehingga tarikh hari ini, 9 Ogos, Bersatu masih lagi ahli dalam PN, walaupun mungkin isu keberadaan Bersatu dalam PN agak unik sedikit oleh kerana ada laporan beberapa orang Ahli Parlimen Bersatu sendiri ke RoS.
"Tentang keabsahan kedudukan kepimpinan jawatankuasa Bersatu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak Kali Ke-23 di Taiping hari ini.
Perkembangan itu menyusul selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 7 Ogos mendakwa kedudukan Bersatu dalam PN telah digugurkan.
Jelas Abdul Hadi, keahlian Bersatu dalam gabungan PN terlucut secara automatik selepas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan gabungan baharu.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Sabtu membidas kenyataan berkenaan dan menegaskan Bersatu masih merupakan parti komponen PN.
Menurut Azmin, dakwaan bahawa Bersatu telah digugurkan daripada gabungan itu bercanggah dengan Perlembagaan PN kerana tiada mana-mana fasal yang memperuntukkan pengguguran keanggotaan sesebuah parti secara unilateral.
Beliau turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan kedudukan parti komponen perlu dibuat mengikut peruntukan dan tatacara yang ditetapkan dalam Perlembagaan PN.