Skip to main content

Malaysia

Sektor swasta digesa perluas peluang kerjaya kedua veteran tentera - Wan Azizah

SERI KEMBANGAN, 9 Ogos -- Isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Kempen Tabung Pahlawan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan pada majlis penutup Kejohanan MyHeroes Golf Championship Cup 2026 (MYGCC 2026) anjuran Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) di Seri Kembangan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Wan Azizah ketika berucap pada majlis penutup MyHeroes Golf Championship Cup 2026 (MYGCC 2026) anjuran Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) di sini hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

SERI KEMBANGAN: Sektor swasta perlu memperluas peluang kerjaya kedua kepada veteran tentera sebagai sebahagian usaha memperkukuh kebajikan dan pemerkasaan golongan berkenaan, kata Penaung Kempen Tabung Pahlawan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam memastikan veteran tentera mendapat peluang untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara selepas menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya menyeru agar lebih ramai pihak tampil membuat sumbangan kepada Kempen Tabung Pahlawan dan juga persatuan-persatuan veteran yang bernaung di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

“Setiap sen yang diberikan akan dimanfaatkan terus untuk kebajikan dan kesejahteraan wira-wira negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutup MyHeroes Golf Championship Cup 2026 (MYGCC 2026) anjuran Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Presiden PVTLDM Komander (Bersara) Khairil Hariss Khairuddin, yang juga Pengarah Program MYGCC 2026.

Sebanyak RM220,000 berjaya dikutip daripada lapan syarikat swasta menerusi penganjuran MYGCC 2026 sempena Kempen Tabung Pahlawan sekali gus mengukuhkan peranan program itu sebagai platform pengumpulan dana kebajikan veteran tentera.

Wan Azizah, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, berkata kerajaan melalui ATM dan JHEV sentiasa komited menjaga kebajikan serta memperhebat agenda pemerkasaan veteran tentera.

Beliau berkata rekod menunjukkan keprihatinan masyarakat awam dan korporat terhadap Kempen Tabung Pahlawan terus mencatat perkembangan positif.

“Sumbangan yang terkumpul dimanfaatkan untuk menyokong beribu-ribu veteran serta waris mereka dari segi bantuan kelangsungan hidup, perubatan dan pendidikan anak-anak wira kita.

“Pencapaian ini adalah bukti semangat kebersamaan dan etika kerja keras tanpa culas, iaitu prinsip sedia berkorban yang menjadi pegangan hidup setiap warga Tentera Laut Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement