Skip to main content

Malaysia

Penjualan aset Felda: Ahmad Shabery bimbang PM terima maklumat kurang tepat

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan Encorp Berhad (ENCORP) di Menara FELDA hari ini.
Ahmad Shabery berkata sepanjang tempoh beliau menerajui Felda sehingga akhir Jun lalu, tidak ada permohonan dikemukakan untuk menjual hotel milik agensi berkenaan di London. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bimbang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin menerima maklumat yang kurang tepat berhubung cadangan penjualan aset milik agensi itu di London.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ahmad Shabery berkata sepanjang tempoh beliau menerajui Felda sehingga akhir Jun lalu, tidak ada permohonan dikemukakan untuk menjual hotel milik agensi berkenaan di London.

“Tidak ada satu pun permohonan menjual hotel Felda di London dibuat semasa saya berada di Felda. Tidak tahulah kalau selepas saya meninggalkan Felda pada akhir Jun lalu.

“Lagipun, Felda mempunyai empat aset hartanah di sana, iaitu dua hotel dan dua penempatan pelajar,” katanya memetik laporan berkenaan pada Ahad.

Beliau menambah, setahunya, tiada satu pun daripada empat hartanah berkenaan dibeli secara tunggal pada harga 160 juta pound.

Menurut Ahmad Shabery lagi, perkara itu menimbulkan kebimbangan sekiranya maklumat yang diterima Perdana Menteri mengenai aset berkenaan tidak menggambarkan kedudukan sebenar keseluruhan portfolio hartanah Felda di London.

“Saya bimbang PM disalah nasihat atau ada yang cuba mengambil kesempatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery menjelaskan bahawa penjualan aset Felda adalah berdasarkan arahan kerajaan, termasuk Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri.

“Menjual aset adalah arahan dari atas, Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah langkah standard kerajaan,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Shabery berkata kedudukan empat aset Felda di London perlu diperincikan bagi mengelakkan kekeliruan antara nilai sesebuah hartanah secara individu dengan nilai keseluruhan portfolio hartanah berkenaan.

Ahmad Shabery mula dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 1 Julai 2023 dan berakhir pada 30 Jun 2026.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilapor berkata beliau enggan menandatangani dokumen kelulusan penjualan sebuah hotel milik Felda selepas mendapati aset berkenaan dicadangkan untuk dijual pada harga 100 juta pound, berbanding harga pembelian 160 juta pound.

Anwar turut mengarahkan pengurusan Felda menyediakan laporan lengkap berhubung cadangan penjualan aset berkenaan bagi memastikan perkara itu diteliti dengan sewajarnya.

Must Watch Video

Advertisement