Skip to main content

Politik

[TERKINI] Kemelut DUN Negeri Sembilan: 'Saya bukan nak jadi MB' - Jalaluddin

SEREMBAN - Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan bahawa beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN mahu menjadi Menteri Besar susulan tindakan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Jalaluddin (tengah) pada sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan. - Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan bahawa beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN mahu menjadi Menteri Besar susulan tindakan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, keputusan memilih Menteri Besar bukannya terletak kepada UMNO sebaliknya dibuat oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Advertisement

"Ini bukan matlamat kita. Saya sudah pun menjadi exco kanan dan perbincangan kita bukan nak jadi Menteri Besar dan saya bukan nak jadi Menteri Besar.

"Sesiapa saja boleh menjadi Menteri Besar, saya boleh, Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi) boleh, Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong) boleh. Jangan salah faham...," katanya dalam sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa keputusan yang diambil oleh UMNO-BN terbabit adalah untuk memastikan supaya kestabilan urus tadbir kerajaan dapat dijalankan dalam keadaan baik dan tersusun.

Tambahnya, ia selepas mendapati Aminuddin gagal menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku melibatkan institusi raja dan adat.

"Setelah apa yang berlaku ini, kita sedang meneliti, apakah pilihan mengikut perlembagaan yang boleh diambil oleh UMNO-BN bagi memastikan kestabilan terus wujud di dalam menghadapi kemelut ini.

"Pandangan saya bahawa Menteri Besar sudah hilang keyakinan untuk meneruskan dan menerajui kepimpinan kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya telah pun menghantar permohonan untuk mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk memaklumkan mengenai penarikan sokongan terhadap Menteri Besar.

Jelasnya, permohonan tersebut dihantar secara rasmi pada petang Isnin.

"Buat masa ini, saya belum lagi dititah mengadap baginda dan bersedia pada bila-bila masa," katanya.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan 13 ADUN UMNO bagi membincangkan situasi yang berlaku sekarang. -- Sinar Harian

Must Watch Video