[TERKINI] Peletakan jawatan pemimpin PN bukti kerapuhan parti - AMK Johor
![[TERKINI] Peletakan jawatan pemimpin PN bukti kerapuhan parti - AMK Johor [TERKINI] Peletakan jawatan pemimpin PN bukti kerapuhan parti - AMK Johor](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/61767072873_TBMUHYIDDIN.jpg)
AMK Johor menyifatkan peletakan jawatan kepimpinan tertinggi PN sebagai bukti jelas kerapuhan hala tuju politik gabungan itu. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyifatkan peletakan jawatan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat dan negeri sebagai bukti jelas kerapuhan hala tuju politik gabungan itu, khususnya di Johor.
Ketua AMK Johor Faezuddin Puad, berkata peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN di peringkat nasional, yang kemudiannya diikuti Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi PN Johor, mencerminkan krisis kepimpinan serta ketidaktentuan dalaman yang semakin meruncing.
"Ini menunjukkan krisis melanda PN di peringkat pusat kini menular ke peringkat negeri. Peletakan jawatan Dr Sahruddin, seorang tokoh yang pernah menerajui Johor sebagai Menteri Besar, membuktikan rapuhnya kepercayaan sesama komponen PN serta kegagalan menyatukan agenda untuk menyelesaikan masalah rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026, sebelum langkah sama diikuti Dr Sahruddin sebagai Pengerusi PN Johor dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN.
Faezuddin berkata rakyat Johor ketika ini memerlukan kepimpinan yang stabil dan berfokus kepada agenda sebenar seperti pemulihan ekonomi, isu kos sara hidup serta penciptaan peluang pekerjaan, terutamanya untuk golongan belia.
"Politik yang berterusan dengan konflik dalaman dan percaturan kuasa hanya menambah ketidaktentuan serta mengalih perhatian daripada keperluan rakyat," katanya.
Faezuddin berkata bahawa kestabilan politik merupakan prasyarat penting bagi memastikan Johor terus berfungsi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara, termasuk memanfaatkan peluang strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pelaksanaan agenda pembangunan belia yang mampan.
"Johor memerlukan kepimpinan yang fokus bekerja, bukan kepimpinan yang sentiasa bergolak," katanya.
Sementara itu, beliau berkata krisis dalaman PN mengukuhkan keyakinan bahawa hanya kepimpinan berprinsip, bersatu dan stabil, seperti dibawa oleh Kerajaan MADANI mampu menjamin pembangunan sebenar untuk negeri dan negara.
Katanya AMK Johor juga percaya rakyat negeri itu khususnya generasi muda semakin matang dalam menilai kepimpinan berdasarkan prestasi, integriti dan keupayaan sebenar bukannya retorik politik atau percaturan kuasa semata-mata.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


