Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Johor: UMNO 'boneka terikat' - Puad Zarkashi umum keluar parti

KUALA LUMPUR, 27 April — ADUN Rengit yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ketika bercakap pada taklimat media Menteri Pendidikan Tinggi bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) antara Malaysia dan Turkiye serta Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn di sini hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Puad Zarkashi mengumumkan keluar UMNO serta-merta, mendakwa parti di Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan dikawal pihak Istana. Beliau menegaskan tindakannya atas “keberanian politik” walaupun berdepan risiko kecaman dan ancaman.
Advertisement

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi hari ini mengumumkan tindakan keluar daripada parti serta-merta, atas alasan UMNO Johor tidak bebas membuat keputusan khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor.

Beliau yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor mendakwa, UMNO Johor ‘dikawal’ oleh Istana dalam membuat keputusan berkaitan, dan tidak lebih daripada sekadar boneka semata-mata.

Sehubungan itu, Puad menyatakan beliau rela dikecam dan dihina serta tidak menolak kemungkinan keselamatannya terancam susulan kritikan ini.

Dalam masa sama, veteran UMNO itu menegaskan, berbekalkan keberanian politik, beliau akan terus mendedahkan kemungkaran dan bertempur dalam apa jua keadaan.

“Alasan utama saya keluar UMNO ialah, UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh Istana dalam membuat keputusan.

“Satu bukti jelas ialah YAB Dato Onn Hafiz (Pengerusi BN Johor) sendiri buat pengakuan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun 2026 (Ahad). Dia maklum kepada saya bahawa pihak Istana yang titah kepada beliau agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026.

“Banyak lagi contoh contoh lain Onn Hafiz hanya pak turut. Itu menjadikan UMNO Johor boneka yang terikat. Saya perlu melakukan “keberanian politik” mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi parah,” tegas Puad dalam hantaran di akaun media sosial, pada Khamis.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Onn Hafiz mengumumkan senarai penuh calon BN bagi PRN Johor, yang menyaksikan gabungan muka lama dan baharu diketengahkan, termasuk bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Langkah itu, menurut pemerhati politik, dilihat mencerminkan pendekatan BN yang mengekalkan pengalaman kepimpinan sedia ada, di samping memberi ruang kepada beberapa calon baharu bagi menghadapi pilihan raya kali ini.

Dalam pada itu Puad berkata, beliau sedar tindakan tersebut mungkin mengakibatkan beliau dituduh mementingkan diri sendiri. 

Namun, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, beliau meninggalkan parti di saat beberapa pemimpin lain kembali menyertai UMNO kerana melihat parti itu bertambah kuat. 

“UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya. Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang. Kini saya bebas mengkritik UMNO satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“Ada yang akan menuduh saya keluar UMNO kerana kepentingan diri. Buat apa saya keluar ketika UMNO dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi. Saya tinggalkan UMNO disaat KJ, Hishamuddin, Noh Omar kembali masuk UMNO bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan. Mereka atau saya?” soalnya kembali.

Puad berkata beliau sama sekali tidak ingin melihat UMNO dipimpin ‘pengecut politik’, sehingga menyebabkan Barisan Nasional mengitar semula calon lama, tiada aspirasi orang muda, atau parti yang tidak berkualiti.

“Saya bertawakkal kepada Allah. Kaulah pelindung yang tidak ada tolok bandingnya,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement