AYER KEROH: Polis Melaka menerima 19 laporan polis dan membuka 18 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 setakat Selasa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kebanyakan kes membabitkan perbuatan khianat termasuk merosakkan harta benda dan membakar bendera parti politik.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Akta Hasutan.
"Kebanyakannya ialah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan juga 435 iaitu khianat dengan api di mana membakar bendera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Bagaimanapun, Dzulkhairi mengesahkan tiada tangkapan dilakukan setakat ini berhubung kes yang dilaporkan.
Mengulas perkembangan siasatan membabitkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis.
Menurutnya, kes itu akan dirujuk kepada pihak pendakwaan negeri untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Dzulkhairi menyifatkan situasi sepanjang tempoh kempen masih terkawal tanpa sebarang insiden serius yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"Sepanjang kempen ini agak tenang. Tidak ada insiden-insiden yang meruncingkan dan semuanya terkawal," katanya sambil memaklumkan seramai 669 anggota polis digerakkan sepanjang tempoh berkempen.
Menjelang hari pengundian pada 14 November ini, seramai 3,332 anggota polis akan dikerahkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran proses pilihan raya.
Beliau berkata, pasukan Cantas turut disediakan bagi menangani sebarang kekecohan termasuk mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar undang-undang.
"Untuk 14 hari bulan, penyokong parti kita minta supaya menjaga tingkah laku dan adab. Kita ada undang-undang. Jangan ada paksaan dan ugutan dan sebagainya. Undilah dalam keadaan aman," tegasnya.
Sementara itu, proses pengundian awal pada Selasa membabitkan 2,445 pengundi polis dan 9,769 pengundi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh Melaka, termasuk 817 pengundi yang dijangka menunaikan tanggungjawab di IPK Melaka.