Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: 30 peratus kontrak PBT untuk anak muda, tawaran PH

Menerusi manifesto ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’, PH turut menggariskan transformasi Melaka sebagai negeri pintar melalui inisiatif ‘Smart Melaka’ yang memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Menerusi manifesto ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’, PH turut menggariskan transformasi Melaka sebagai negeri pintar melalui inisiatif ‘Smart Melaka’ yang memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ringkasan AI

  • Pakatan Harapan menawarkan 30 peratus kontrak kerja PBT kepada belia dan beliawanis melalui manifesto 'Aspirasi Melaka Rumah Kita' sempena PRN Melaka ke-16.
  • Manifesto turut menekankan transformasi negeri pintar melalui inisiatif 'Smart Melaka' yang memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran.
  • PH menyasarkan sehingga 25 juta pelancong ke Melaka menjelang 2032 bagi memperkukuh sektor pelancongan dan peluang ekonomi rakyat negeri itu.
Advertisement

AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) menawarkan 30 peratus kontrak kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada belia dan beliawanis menerusi manifesto 'Aspirasi Melaka Rumah Kita'.

Pengerusi PH Negeri Melaka, Adly Zahari berkata, cadangan itu antara tiga keutamaan utama manifesto berkenaan yang dilancarkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil berkata, langkah itu bertujuan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada generasi muda tempatan.

Advertisement

"Sekali gus membuka peluang pekerjaan, perniagaan dan pengalaman kepada generasi muda tempatan," katanya pada sidang media pelancaran manifesto PH di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.

Selain peluang ekonomi, PH turut menawarkan transformasi negeri pintar menerusi inisiatif 'Smart Melaka' yang memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Advertisement

Adly berpandangan, penggunaan teknologi itu mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran, keselamatan serta kualiti hidup rakyat.

PH juga menyasarkan sehingga 25 juta pelancong ke Melaka menjelang 2032 bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri.

"Fokus keutamaan kita adalah memartabatkan industri pelancongan Melaka kerana kita tahu bahawa mengupayakan industri pelancongan akan dapat memberikan lebih banyak peluang-peluang ekonomi kepada rakyat," katanya.

Menurut Adly, sektor pelancongan yang lebih berdaya saing mampu menjana pendapatan dan membuka peluang perniagaan kepada masyarakat setempat.

Selain tiga keutamaan utama, PH menggariskan 12 aspirasi meliputi perumahan, pekerjaan berkualiti, kebajikan rakyat dan pembangunan usahawan.

Antara tawaran lain termasuk geran khas kepada peniaga wanita serta akses modal yang lebih mudah kepada peniaga kecil.

PH turut mencadangkan penggunaan AI bagi menangani kesesakan lalu lintas selain memanfaatkan tanah terbiar untuk pertanian moden dan keterjaminan makanan.

Adly berkata, manifesto berkenaan dirangka berdasarkan maklum balas penduduk dan peniaga, dengan beberapa siri penerangan akan diadakan bagi memperincikan tawaran tersebut.

Turut hadir Pengerusi DAP Negeri Melaka, Khoo Poay Tiong; Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim; penyandang DUN Kota Laksamana, Lee Chee Leong dan penyandang DUN Kesidang, Allex Seah.

 

 

Must Watch Video

Advertisement