Ringkasan AI
- Calon Pakatan Harapan DUN Serkam, Muhammad Faiq Azman, menekankan isu kuala cetek di Pantai Siring yang menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.
- Beliau turut mencadangkan penambahbaikan kemudahan pelancongan, termasuk inap desa dan infrastruktur, bagi meningkatkan keselesaan pengunjung di Pantai Siring.
- Muhammad Faiq, anak jati Kampung Pulai, bertanding menentang penyandang Barisan Nasional dan calon Parti Bersama pada PRN Melaka.
SERKAM: Isu kuala cetek yang menyukarkan pergerakan bot nelayan keluar masuk di Pantai Siring menjadi antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Muhammad Faiq Azman, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, masalah itu perlu diberi perhatian memandangkan aktiviti perikanan merupakan sumber pendapatan utama sebahagian penduduk setempat.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan kelangsungan mata pencarian nelayan selain mengatasi kesukaran yang dihadapi mereka susulan keadaan kuala yang semakin cetek.
"Nelayan di sini meminta supaya kuala ini didalamkan semula kerana keadaan sekarang terlalu cetek untuk mereka keluar masuk menggunakan bot.
"Insya-Allah, saya fikir perkara ini boleh dilaksanakan kerana mata pencarian mereka adalah menangkap ikan dan perkara ini memang relevan untuk diberi perhatian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi Walkabout di Pasar Pantai Siring, pada Sabtu.
Mengulas potensi pembangunan kawasan itu, Muhammad Faiq berkata Pantai Siring yang telah diwartakan sebagai kawasan pelancongan negeri perlu terus dibangunkan menerusi penambahbaikan kemudahan sedia ada.
Antara perkara yang diberi perhatian termasuk penyediaan lebih banyak kemudahan penginapan seperti inap desa (homestay), selain menaik taraf infrastruktur bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
“Cadangan melebarkan jalan turut akan dipertimbangkan bagi membolehkan bas pelancong memasuki kawasan berkenaan dengan lebih mudah,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas gerak kerja kempen yang memasuki hari kedua, beliau mengakui penyertaan sebagai calon dalam pilihan raya merupakan pengalaman pertama buatnya.
Bagaimanapun, beliau berharap mendapat peluang dan sokongan pengundi untuk memimpin serta membawa suara penduduk DUN Serkam.
Pertembungan di DUN Serkam menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faiq Azman, 36, yang juga anak jati Kampung Pulai, mencabar penyandang kerusi itu, Datuk Azman Abdullah daripada Barisan Nasional (BN), selain Muhamad Saffie Md Yasan daripada Parti Bersama.