Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: ‘Perang bendera’ belum panas, BN Tangga Batu sasar 15,000 bendera

Rais (tengah) berkata, suasana kempen yang dilihat masih tenang bukan petanda jentera parti tidak bergerak, sebaliknya pemasangan bahan kempen hanya boleh mula rancak selepas proses penamaan calon selesai. - Gambar Astro AWANI
Rais (tengah) berkata, suasana kempen yang dilihat masih tenang bukan petanda jentera parti tidak bergerak, sebaliknya pemasangan bahan kempen hanya boleh mula rancak selepas proses penamaan calon selesai. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

TANGGA BATU: Ketika bahang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka didakwa masih ‘suam-suam kuku’, Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu menyasarkan pemasangan 15,000 bendera parti bagi membirukan kawasan berkenaan menjelang hujung minggu ini.

Gerakan besar-besaran menerusi jentera Pemuda BN itu melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Sungai Udang, Klebang, Pantai Kundor dan Paya Rumput.

Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, suasana kempen yang dilihat masih tenang bukan petanda jentera parti tidak bergerak, sebaliknya pemasangan bahan kempen hanya boleh mula rancak selepas proses penamaan calon selesai.

Advertisement

“Ramai termasuk kekuarga-keluarga angkat bertanya kenapa Melaka masih belum ada perang bendera, tetapi sebenarnya di Melaka memang begini.

“Kita tidak ada apa yang hendak berperang, seperti kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kita berpolitik secara sihat tanpa hasad dengki atau hasut-menghasut,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran gimik pemasangan bendera oleh jentera Pemuda BN Parlimen Tangga Batu di Pusat Gerakan BN Parlimen Tangga Batu, Sungai Udang, di sini, malam tadi.

Rais berkata, pemasangan bendera mula digerakkan sejak Sabtu selepas penamaan calon dan dijangka semakin rancak dalam tempoh dua hingga tiga hari berikutnya.

“Tetapi komitmen untuk kita geng biru itu sudah tentu kerana pemuda ini sudah lama ‘berdendam’ nak pasang bendera, jadi malam ini kita lepaskan mereka untuk memasang bendera sepuas hati,”katanya.

Pelancaran itu turut disertai calon BN bagi DUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan calon DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi yang juga penyandang kerusi berkenaan.

Mengulas dakwaan BN dilihat agak lewat memulakan pemasangan bendera berbanding parti lain kerana yakin mampu menang, Rais yang juga calon BN bagi DUN Sungai Udang berkata, gerak kerja parti dibuat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.

“Saya tidak menyangkal dakwaan tersebut, tetapi kita bergerak melihat secara realiti. Di Tangga Batu ini sendiri, parti-parti lain juga tidak banyak memasang bendera.

“Insya-Allah, mungkin ini cara di Melaka dan dalam dua tiga hari ini, kita akan nampak bendera setiap parti politik dipasang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, persiapan BN bukan sekadar tertumpu kepada pemasangan bahan kempen, sebaliknya turut memberi penekanan kepada usaha mendekati pengundi dan menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi.

Must Watch Video

Advertisement