[TERKINI] PRN Sabah: 40 peratus hasil Sabah diselesai segera - PM
![[TERKINI] PRN Sabah: 40 peratus hasil Sabah diselesai segera - PM [TERKINI] PRN Sabah: 40 peratus hasil Sabah diselesai segera - PM](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71764213389_AnwarIbrahim.jpg)
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah memudahkan proses rundingan untuk menyelesaikan hak-hak Sabah. - Gambar/ Astro AWANI
TUARAN: Kerajaan Persekutuan sekali lagi menegaskan komitmen penuh untuk melaksanakan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menyelesaikan perkara itu dengan segera.
Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan komited melaksanakan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih kepada Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, menegaskan perkara ini melibatkan jumlah berbilion ringgit.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah memudahkan proses rundingan untuk menyelesaikan hak-hak Sabah.
- Anwar memuji kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah di bawah Datuk Seri Hajiji Noor yang berusaha untuk kepentingan rakyat, sambil menyoal rekod kerajaan terdahulu yang tidak menyelesaikan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya bawa ke Jemaah Menteri. Kalau hubungan dengan Kerajaan Negeri baik, lebih mudah untuk kita tuntut dan laksanakan.
“Saya telah sebut di Jemaah Menteri dan Parlimen: Ya, kami akan menghormati dan melaksanakan 40 peratus itu dengan segera.
“Jadi saya kena bincang, runding dan tengok perjanjian serta tengok kes betul-betul. Janji dahulu, kita tunaikan. Ini Kerajaan Negeri sekarang yang bangkit teruskan,” ujarnya.
Perdana Menteri berucap dalam Majlis Temu Rapat dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan, di sini pada Khamis.
Hadir sama ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memuji kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Hajij, yang disifatkan bekerja untuk kepentingan semua rakyat Sabah.
Beliau turut mempersoalkan rekod kerajaan terdahulu yang menurutnya tidak pernah menyelesaikan hak-hak dalam MA63.
“Dulu ditunaikan? Kerajaan dulu ada tunaikan? Sebut pun tidak. Ini kerajaan sekarang yang bangkitkan isu ini.
“Tengok MA63 ini, kali pertama Kerajaan Negeri minta dipulang dan di Persekutuan kita setuju.
“Tetapi ia ambil masa kerana perlu pinda undang-undang di Parlimen,” tambah beliau lagi.
Dalam masa sama, Anwar menekankan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menjadi asas kepada pembangunan Malaysia, termasuk mencapai pertumbuhan ekonomi sehingga 5.2 peratus.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

