[TERKINI] PRN Sabah: BN Sabah umum empat lagi calon, keseluruhan 45 calon
![[TERKINI] PRN Sabah: BN Sabah umum empat lagi calon, keseluruhan 45 calon [TERKINI] PRN Sabah: BN Sabah umum empat lagi calon, keseluruhan 45 calon](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81762934870_BungMoktarRadin.jpg)
Bung Moktar berkata pengumuman empat lagi calon itu bagi memperkukuh barisan kepimpinan serta kesiapsiagaan BN Sabah. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan penambahan empat lagi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, menjadikan setakat ini seramai 45 calon dipertaruhkan oleh gabungan itu.
Ringkasan AI
- Barisan Nasional Sabah menambah empat calon lagi bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, menjadikan jumlah calon sebanyak 45.
- Keputusan penambahan calon tersebut dibuat untuk memperkukuh barisan kepemimpinan dan kesiapsiagaan BN Sabah.
- Penambahan calon dilakukan bagi memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang, dan strategik, selaras dengan aspirasi BN untuk keperluan masyarakat dan dinamika politik negeri.
"Kerusi-kerusi tambahan ini diputuskan selaras dengan aspirasi BN untuk memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang dan strategik, sesuai dengan keperluan rakyat serta dinamika politik negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Empat calon baharu yang diumumkan ialah Willey Lampaki bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau; Rahmah Jan Sulaiman (Kemabong); Datuk Chin Kim Hiung (Karamunting) dan Chaya Sulaiman (Kukusan).
Ahli Parlimen Kinabatangan itu menjelaskan penambahan itu mencerminkan komitmen berterusan BN Sabah untuk memastikan setiap komuniti di kawasan pilihan menerima pembelaan serta khidmat terbaik daripada calon berwibawa dan bersedia menggalas amanah rakyat.
Ujarnya lagi, jentera parti di semua peringkat diminta untuk menggiatkan persiapan dan melaksanakan gerak kerja secara tersusun, inklusif dan berfokus demi memastikan kemenangan dan mandat rakyat kembali kepada BN.
Ahad lepas, BN Sabah mengumumkan senarai 41 calon, dengan lebih 30 peratus calon muda.
Jelas Bung Moktar, pemilihan calon dibuat secara teliti bagi menampilkan gabungan terbaik yang berpengalaman, berwibawa, berketerampilan serta mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

