[TERKINI] 'Tidak mungkin berlaku undi tidak percaya terhadap MB' - Speaker DUN Perlis
![[TERKINI] 'Tidak mungkin berlaku undi tidak percaya terhadap MB' - Speaker DUN Perlis [TERKINI] 'Tidak mungkin berlaku undi tidak percaya terhadap MB' - Speaker DUN Perlis](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/51767178015_RusseleEizan.jpg)
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'sele Eizan pada sidang media di Kompleks Seri Putra hari ini. Rus’sele menyerahkan surat rasmi kepada SPR Perlis bagi menarik balik permohonan untuk mengadakan PRK. - fotoBERNAMA
KANGAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'sele Eizan menyatakan pihaknya berkeyakinan bahawa tidak akan berlaku usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis.
Menurutnya, tindakan itu adalah bagi menjaga kepentingan semua pihak, selain menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk bersatu semula demi rakyat.
"Yang itu (usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar), saya rasa tidak mungkin berlaku sebab kita pun (sudah) melihat titah Tuanku, sebab itu apabila Tuanku bertitah, kita kaji balik perkara-perkara berkaitan pilihanraya (kecil),
"Kalau ikut kepentingan parti semua mendesak untuk adakan pilihanraya, (belum dikaji secara menyeluruh) apa bebanan yang akan ditanggung kerajaan negeri, Suruhjaya Pilihan Raya (SPR), (apabila melihat perkara itu), (keputusan) untuk (tidak ada PRK) itu lebih baik, sebab kita (PN) masih lagi majoriti.
"Ada 11 (ADUN) kan (walaupun tiga kerusi kosong), (hanya ada), isu pertukaran MB sahaja," katanya dalam sidang media Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Rus'sele menambah, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Menteri Besar dalam menentukan kedudukannya sebagai Speaker.
Jelasnya, setakat ini beliau tidak menerima sebarang arahan daripada kepimpinan Pas di peringkat Pusat berhubung kedudukan jawatannya itu.
"(Soal pertukaran Speaker) itu terpulang kepada kebijaksanaan Menteri Besar, (kalau) untuk tukar Speaker dia ada beberapa pilihan antaranya salah satunya (adalah) di dalam sidang DUN,
"Untuk masa ini (saya boleh sahkan) Speaker masih kekal lagi sebagai Speaker, (saya pun) tiada (terima) arahan (dari Pusat untuk apa tindakan susulan)," tambahnya.
Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan memaklumkan beberapa ADUN parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.
Tegasnya, semua anggota Exco sedia ada daripada Pas juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Bagaimanapun, parti itu komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan Pas dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


