Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyeru parti - parti politik yang mewakili masyarakat India di negara ini untuk bersatu supaya hak dan kebajikan mereka terus terbela.

Najib berkata ini adalah kerana sekarang ini terdapat terlalu banyak parti-parti politik yang mewakili masyarakat India.

"Masalah pokoknya terdapat terlalu banyak parti-parti politik yang mewakili masyarakat India.
"Hanya ada 7.5 peratus masyarakat India dalam negara ini tetapi parti politik yang mewakili parti India lagi banyak.

"Kalau parti-parti ini boleh bersatu, kerajaan boleh buat banyak lagi untuk masyarakat India.

"Saya penyokong penuh penyatuan semua parti politik yang mewakili masyarakat India," katanya semasa ucapan perasmiannya dalam Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) yang ke 22, di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, Najib mengakui bahawa penyatuan itu lebih senang untuk dibincangkan daripada dilakukan.

Najib berkata demikian semasa menjawab permohonan Presiden IPF Datuk M. Sambanthan yang antara lain ingin parti itu dijadikan parti komponen Barisan Nasional.

Sambanthan juga meminta jawatan Senator dan jawatan Timbalan Menteri untuk ahli IPF dan peruntukan RM5 juta untuk kebajikan masyarakat itu.

Najib berjanji akan memikirkan bagaimana untuk memenuhi permintaan tersebut, kerana beliau sedar bahawa "kesetiaan IPF tidak dibalas".

“Beri saya masa untuk mempertimbangkan apa yang boleh dilakukan untuk IPF,” katanya.

Sementara itu, Sambanthan, di dalam ucapannya, mengkritik MIC kerana menganggap dirinya satu-satunya parti yang mewakili kaum India di negara ini.

“Ada orang kata MIC sahaja cukup untuk orang India. Kalau prinsip macam itu Barisan Nasional akan menghadapi masalah di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

“MIC kata boleh bawa 80 peratus pengundi India, tapi hanya 65 peratus sahaja yang boleh dibawa oleh mereka.

“Saya berjanji jika IPF diterima sebagai parti komponen BN, pilihan raya akan datang, IPF dan Friends of BN berani bawa 85% pengundi kepada BN. Jika IPF gagal janji ini, saya minta IPF dikeluarkan dari komponen BN,” katanya.

Selain IPF, parti lain yang mewakili masyarakat India ialah MIC, Makkal Sakti, Parti India Bersatu Malaysia (MIUP) dan Parti Progresif Penduduk (PPP).