KOTA TINGGI: UMNO menafikan dakwaan terdapat gerakan didalangi Ketua Bahagian untuk menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pucuk pimpinan parti kini sedang berusaha mendapatkan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Surat kalau ditandatangani (ketua bahagian) pun, Presiden tak akan terguling.

"Jadi buat apa nak tandatangan surat. Mana ada," katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Taman Aman, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, Lembaga Pengampunan adalah hak mutlak dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam perlembagaan Persekutuan.

"UMNO menghormati keputusan pengampunan tersebut. Biarpun desakan dibuat ia tetap kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Bagaimanapun UMNO tetap akan berusaha untuk mendapatkan pengampunan bagi Datuk Seri Najib Razak" katanya.

Pada Sabtu, UMNO dilaporkan akan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi mendapatkan pengampunan penuh Najib.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Urusetia Lembaga Pengampunan pada Jumaat, jumlah denda yang perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada jumlah asal iaitu RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang menyaksikan pengampunan diraja adalah satu-satunya harapan beliau untuk membebaskan diri. - Sinar Harian